Aduan ADUN salah guna RM375,000
dikemaskini Gerakan Rakyat dan Anti Korupsi Malaysia (Gerak) membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor terhadap seorang ADUN Pakatan Rakyat atas dakwaan rasuah.
Dakwaan itu membabitkan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri di kawasan wakil rakyat berkenaan berjumlah RM375,000.
Dokumen 17 halaman itu diserahkan oleh Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunos kepada pegawai penyiasat SPRM di pejabat suruhanjaya itu di Shah Alam pukul 11.15 pagi, lapor Bernama .
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau dilaporkan berkata, salah guna yang dibangkitkan antaranya kemungkinan ADUN berkenaan membuat tuntutan palsu dan perbelanjaan yang tidak diaudit.
"Saya boleh katakan di sini bahawa ADUN yang kami maksudkan dalam dakwaan kami bukan daripada DAP," Mohd Nazree dipetik berkata.
Tambahnya, dokumen itu diberikan kepada beliau oleh seseorang yang tidak dikenali awal bulan ini di pejabat Gerak di Kelana Jaya.
Kerajaan Selangor baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan menjalankan audit dalaman sendiri berhubung dakwaan salah guna dana negeri oleh wakil-wakil rakyat kerajaan Pakatan itu.
Dakwaan mengenai salah guna dana mula timbul awal bulan ini selepas anggota exco kanan Selangor, Teresa Kok mendedahkan bahawa SPRM merampas beberapa fail yang mengandungi peruntukan perbelanjaan beberapa ADUN di negeri itu.

