Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS akan menyiasat dakwaan seorang anak seorang pemandu lori diperalatkan untuk menyertai demonstrasi membantah akta ISA, Sabtu lalu, dengan memberinya "baju merah untuk menjaga keselamatan peserta perhimpunan".

"Kami akan siasat perkara ini berhubung dakwaan seorang bapa itu. Kita tak paksa orang menganggotai Unit Amal.

"Kita akan siasat dengan Pemuda Pulau Pinang untuk dapatkan maklumat lanjut," katanya setiausaha dewan itu Kamaruzaman Mohamad.

Kamaruzaman, yang juga timbalan pengerusi sekretariat himpunan tersebut, berkata keahlian Unit Amal disertai sukarela, termasuk penyertaan dalam demonstrasi 1 Ogos lepas.

Mengakui unit tersebut turut disertai remaja dan juga anggota dewasa, beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan pemandu lori Abdul Aziz Ibrahim dan pembabitan anaknya Muhamad Azreen, 15.

"Kita tidak paksa mereka untuk hadir ke perhimpunan, kita hanya menggalak sesiapa yang bersetuju untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"Kalau betul (ahli) Unit Amal (terlibat), kita akan keluarkan kenyataan," kata Kamaruzaman kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas dakwaan Abdul Aziz dan anaknya itu.

NONE Agensi berita Bernama tidak menyebut unit tersebut dan parti pembangkang yang dimaksudkan tetapi Abdul Aziz dipercayai merujuk Unit Amal PAS yang memakai baju merah pada hari demonstrasi baru-baru ini.

Pemandu itu dilaporkan berkata anaknya cedera di bahagian mata kanan dan mulut tetapi penganjur "bersikap lepas tangan selepas kejadian itu."

Muhamad Azreen dilaporkan dihantar pulang ke rumahnya di Permatang Rawa, pagi Ahad lepas.

Kamaruzaman mengakui terdapat dua lelaki dewasa yang menganggotai Unit Amal PAS Pulau Pinang terlibat dengan kemalangan di Bukit Beruntung – dilaporkan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menyertai demonstrasi menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau bagaimanapun tiada maklumat tentang 18 lagi anggota rombongan itu termasuk Muhamad Azreen, yang dilaporkan menaiki sebuah bas, yang dirawat sebagai pesakit luar.

Sehubungan itu, selepas berakhir demonstrasi itu kira-kira 4 petang, beliau bersama Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan menziarahi kedua-dua lelaki dewasa itu di hospital berkenaan.

Tambahnya, seorang daripada dua lelaki itu mengalami kecederaan belakang yang serius dan memerlukan pembedahan.

"Kita telah membuat tabung untuk membantu dua ahli Unit Amal tersebut. Kita jumpa doktor yang merawat, dan beri jaminan akan ditanggung bersama PAS," kata Kamaruzaman lagi.

Menurutnya lagi, beliau tidak dapat memastikan kecederaan yang dialami oleh seorang lagi mangsa kerana sedang tidur.

"Kita akan urus dengan Pemuda Pulau Pinang," katanya, sambil menambah kedua-dua lelaki tersebut tidak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) - seperti dilaporkan - sewaktu kunjungannya.

ADS