Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kpg Buah Pala: Penduduk ditawar rumah teres
Diterbitkan:  Aug 5, 2009 10:31 AM
Dikemaskini: 2:33 AM

Pemaju projek perumahan di Kampung Buah Pala, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd Selasa bersetuju untuk menawarkan penduduk kampung berkenaan dengan sebuah rumah teres bagi setiap rumah yang dirobohkan di kawasan kampung itu, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Menurutnya, tawaran itu dikemukakan mereka dalam perbincangan antara kerajaan negeri, pemaju dan penduduk kampung berkenaan malam tadi.

"Selepas mengadakan perbincangan, pemaju bersetuju memberi sebuah rumah teres dan ini adalah tawaran yang terbaik diberikan pemaju kepada penduduk kampung berkenaan.

"Bagaimanapun, penduduk kampung belum buat sebarang keputusan dan mereka minta tempoh sehingga Jumaat ini untuk memberi jawapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan itu di pejabatnya di Komtar malam tadi, lapor Bernama.

Lim bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai tawaran itu dan berharap ia akan diterima penduduk kampung bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Sementara itu Penolong Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, C.Tharmaraj berkata penduduk belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran berkenaan dan mereka akan mengadakan perbincangan sebelum memberi jawapan kepada pemaju.

Bagaimanapun katanya penduduk tidak gembira dengan tawaran berkenaan kerana mereka hanya diberi gambaran mengenai rumah teres berkenaan secara lisan tanpa plan reka bentuk sebenar.

"Kami hanya dimaklumkan setiap rumah yang terlibat akan dapat sebuah rumah teres dua tingkat dengan keluasan 1,400 kaki persegi di kawasan berkenaan.

"Tetapi plan reka bentuknya dan maklumat lanjut tentang perkara itu tidak dimaklumkan dan rumah berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua tahun dari sekarang," katanya dan menambah dalam tempoh itu penduduk terpaksa menyewa sendiri di kawasan lain.

Rumah 23 keluarga di kawasan itu sepatutnya dirobohkan semalam tetapi dilanjutkan selepas penduduk kawasan itu gagal dalam rayuan mereka menghalang pemilik tanah berkenaan, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang, daripada membangunkannya.

Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd, pemaju projek perumahan di Kampung Buah Pala, menetapkan Jumaat ini sebagai tarikh baru untuk penduduk kawasan itu berpindah dari kediaman masing-masing.

ADS