Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 6.55pm Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) hari ini membuat laporan terhadap polis dan menteri malam negeri berhubung kegagalan mencegah demonstrasi anti-ISA, Sabtu lalu.

Laporan pengerusinya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi pada 2 petang ini.

Dalam aduan terhadap polis, beliau mendakwa mendakwa pihak berwajib itu gagal mencegah perhimpunan dengan menangkap dalangnya lebih awal menggunakan kuasa yang diperuntukkan bawah Seksyen 103, Kanun Tatacara Jenayah.

Peruntukan tersebut membolehkan polis membuat tangkapan awal bagi mencegah perhimpunan itu berlaku walaupun tanpa waran.

Pengamal undang-undang itu juga mendakwa, kegagalan polis membuat tangkapan awal menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada peniaga dan orang awam sekitar ibu negara, termasuk dirinya sendiri.

"Kegagalan polis bertindak tersebut telah menyebabkan kerugian reputasi saya sebagai bapa untuk memenuhi janji terhadap anak saya untuk membawanya bersiar-siar dan membeli-belah di kompleks SOGO, kerana keadaan amatlah tidak selamat pada hari itu," katanya dalam media selepas lebih dua jam membuat aduan polis.

Mohd Khairul Azam ditemani lima penyokongnya yang diperkenalkan sebagai “pesilat” kepada media.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi II Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) Rahimuddin Md Harun.

NGO ini bersama GGMM bergabung untuk berhimpun menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan ISA, Sabtu lalu.

Dalam aduan terhadap Datuk Seri Hishammudin Hussein, GGMM pula mendakwa menteri itu “kemungkinan melampaui kuasanya” dan “kemungkinan menyalahgunakan kuasanya” dengan membuat kenyataan seolah-olah mengarahkan polis “melakukan atau tidak melakukan sesuatu”.

Sehari sebelum demonstrasi isu ISA, Hishammudin dilaporkan memberi amaran kepada penganjurnya Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Pewaris agar tidak meneruskan perhimpunan mereka dan juga mengarahkan polis untuk bertindak tegas terhadap mereka.

Mohd Khairul Azam mendakwa, tindakan menteri itu bercanggah peruntukan undang-undang yang menetapkan “hanya pegawai polis boleh memberi arahan kepada anggota polis”.

"Saya mohon pihak polis menyiasat sama ada telah berlaku campur tangan tidak wajar oleh menteri (dalam pasukan polis) bagi menjalankan tugas mereka menangani demonstrasi 1 Ogos lalu, atau menteri berkenaan sekadar tersasul," katanya.

ADS