Anak-anak kepada mendiang Ta Kin Yan membuat laporan polis bagi menuntut pihak berkuasa menyiasat cara SPRM mengendalikan penahanan dan reman seorang daripada ahli keluarga mereka, Ta Jin Kiat, serta pemindahan saham dalam 11 buah syarikat yang berlaku selepas itu.

Mengesyaki apa yang terjadi itu adalah sebahagian daripada tindakan "mafia korporat" anak-anak taikun terbabit menyuarakan kebimbangan mereka terhadap apa yang berlaku serta keselamatan Jian Kiat.

Dalam dua kenyataan dikeluarkan semalam, Kelvin Ta Jin Wei dan Cheryl Ta Jia Ern mempersoalkan langkah SPRM mendedahkan nama Jin Kiat secara terbuka dan mengaitkannya dengan satu perbicaraan pada Sept lalu.

Kata mereka, peguam Jin Kiat idak dapat mengenal pasti sebarang kes yang sepadan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

"Kami tidak faham mengapa kumpulan lama SPRM menyasarkan dia dengan cara begini, atau mengapa alamat dia perlu didedahkan kepada umum.

"Kami berharap ini bukan satu lagi contoh 'mafia korporat' yang bersekongkol dengan SPRM," kata Jin Wei dan Jia Ern.

Adik-beradik itu membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen.

"Mafia korporat" merujuk kepada dapatan penelitian Bloomberg yang mendakwa wujud satu rangkaian ahli perniagaan bekerjasama dengan pegawai SPRM untuk menyasarkan syarikat tertentu, menyingkirkan eksekutif, dan mengambil alih kawalan sesebuah perniagaan.

SPRM kemudiannya menafikan dakwaan tersebut.

Pada 11 Sept lalu The Star melaporkan SPRM sedang mencari Jin Kiat bagi membantu perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana dia disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah melibatkan penjawat awam, ejen pengarah atau pegawai bank.

Agensi antirasuah itu memberitahu Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jin Kiat pada 2 Sept selepas usaha untuk mengesan individu terbabit gagal.

Tidak pernah didakwa

SPRM juga menyiarkan alamat terakhirnya yang diketahui.

Bagaimanapun, adik-beradik itu mempersoalkan keadaan di sebalik pengeluaran waran tangkap tersebut.

Hal itu kerana, dakwa mereka, pada Ogos lalu – sebelum waran itu dikeluarkan – seorang pegawai SPRM menghubungi Jin Kiat dan memintanya pulang ke Malaysia untuk "mengemas kini" kenyataannya kerana agensi itu "memerlukan butiran lanjut".

Waran tangkap itu dikeluarkan tidak lama kemudian, dakwa mereka.

Jin Wei dan Jia Ern berkata, Jin Kiat dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 14 Mac 2025 dan pegawai agensi antirasuah sama kemudiannya melanjutkan tempoh jaminan berkenaan hampir setiap bulan dari April hingga Nov 2025.

Jaminannya kemudian dilanjutkan sekali lagi sehingga Dis 2025.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama pegawai terbabit sementara menunggu maklum balas SPRM.

Jin Wei dan Jia Ern menambah, setahu mereka, Jin Kiat tidak pernah didakwa atas sebarang kesalahan sepanjang tempoh tersebut.

"Kami tidak tahu apa ...telah berubah, atau asas bagi waran tersebut, dan tiada sesiapa yang menjelaskannya kepada kami.

"Kami mahu tahu sebabnya. Mengapakah ikat jaminnya dilanjutkan berulang kali dan tiba-tiba kini waran tangkap dikeluarkan?" soal mereka.

Selain itu, Jin Wei dan Jia Ern mendakwa saham dalam 11 buah syarikat dipindahkan pada 24 Mac 2025 walaupun terdapat arahan daripada Jin Kiat kepada syarikat-syarikat berkenaan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia supaya tidak mendaftarkan sebarang pemindahan saham miliknya.

Mereka mempersoalkan keadaan sekitar borang pemindahan saham yang didakwa kemudiannya telah dirampas oleh SPRM.

[Baca laporan penuh]