MCMC siasat video AI tarian depan jenazah Siti Hasmah
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti kandungan media sosial yang didakwa menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Dr Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Dr Hasmah Mohd Ali.
MCMC berkata pihaknya juga telah menghubungi platform media sosial berkaitan berhubung penyebaran kandungan tersebut.
“Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan semalam.
Malaysiakini difahamkan kenyataan itu merujuk kepada video AI menunjukkan seorang wanita menari di hadapan Mahathir dan hadirin ketika memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah allahyarhamah.
Menurut suruhanjaya itu, penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa serta menjejaskan maruah individu dan keluarganya.
Katanya, perbuatan itu lebih tidak wajar apabila melibatkan saat kehilangan dan kedukaan seseorang.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan dimanipulasi yang boleh mengelirukan atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi, selain melaporkan bahan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.
“Teknologi tidak seharusnya digunakan untuk memutarbelitkan kebenaran atau mengeksploitasi kesedihan seseorang sehingga mengorbankan maruah dan nilai kemanusiaan,” katanya.
/file/attachments/orphans/drhasmahfuneral11_148250.png)
