Undang Yang Empat yang dipertikai dan Tunku Besar Tampin mendakwa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah mencampuri urusan adat di luak serta melanggar batas kuasa yang ditetapkan dalam Perjanjian 1898.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan Perjanjian 29 April 1898 antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat merupakan asas struktur perlembagaan negeri yang turut diperkukuh melalui Perjanjian 1934.

Mereka mendakwa tindakan Tuanku Muhriz mencampuri urusan Luak Rembau dan Sungei Ujong bertentangan dengan Fasal 3 dan 4 Perjanjian 1898, yang antara lain menetapkan batas campur tangan baginda dalam urusan luak serta hubungan dengan Undang.

"Larangan campur tangan dalam urusan luak ialah pantang larang yang mempunyai latar sejarah berdarah. Sepanjang abad ke-19, campur tangan dalam pemilihan dan urusan dalaman luak mencetuskan perebutan kuasa, permusuhan dan pertumpahan darah yang hampir memecahkan konfederasi Negeri Sembilan.

"Memorandum Gabenor Weld bertarikh 23 Disember 1885 sendiri merujuk kepada 'the old Rembau feuds, and political and dynastic antagonisms', serta perselisihan yang telah lama wujud antara Yam Tuan dengan para Datoh dan ketua-ketua luak, yang hanya dapat diselesaikan melalui rundingan berasingan dengan semua pihak.

"Perjanjian 1898 ialah penyelesaian muktamad kepada sejarah itu: Yang di-Pertuan Besar dipilih oleh Undang, dan sebagai balasannya Baginda tidak mencampuri urusan luak. Melanggar syarat ini bermakna meruntuhkan asas yang menyatukan Negeri Sembilan," tegas mereka.

Menurut mereka tindakan Tuanku Muhriz menggunakan takhta untuk menjatuhkan Undang bukan kesilapan prosedur malah pelanggaran terhadap syarat yang menjadi asas kewujudan takhta Yang di-Pertuan Besar itu sendiri:

DKU tak pernah putuskan pelucutan Mubarak

Dalam kenyataan bersama itu, mereka turut mendakwa Mesyuarat Khas Dewan Keadilan Undang (DKU) pada 17 April 2026 tidak pernah memutuskan untuk melucutkan jawatan Mubarak Thahak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Sebaliknya, menurut mereka, majoriti anggota yang hadir termasuk Undang Johol, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong menolak cadangan berkenaan, manakala hanya Tunku Besar Seri Menanti menyokongnya.

Mereka turut mendakwa Tuanku Muhriz kemudiannya mengarahkan Menteri Besar ketika itu, Aminuddin Harun, mengeluarkan kenyataan bahawa DKU telah menasihati Mubarak supaya menerima pelucutan jawatan tersebut.

Dakwaan itu, menurut mereka, telah dinafikan secara bertulis dan bersetem oleh Undang Yang Empat pada 20 April.

Mereka juga mempersoalkan tindakan membuka semula keputusan DKU pada 4 Julai 2025 yang menerima dan mengiktiraf Abdul Rahim Yasin sebagai Undang Rembau ke-22 melalui aduan yang dibawa dalam mesyuarat DKU pada 5 Mac 2026.

Menurut mereka, tindakan berkenaan bercanggah dengan Perjanjian 1898 dan UUTKNS kerana Yang di-Pertuan Besar tidak mempunyai kuasa untuk memilih, melucutkan atau menggantikan Undang secara bersendirian.

Mereka seterusnya mendakwa pelantikan pengganti bagi Undang Rembau dan Sungei Ujong selepas 20 Jun 2026 tidak sah kerana kedua-dua jawatan berkenaan belum dikosongkan secara sah.

Menjelaskan maksud ‘enquiry’

Dalam pada itu mereka menjelaskan bahwa teks berautoriti Perkara 10 UUTKNS menggunakan perkataan “enquiry” dan bukan “inquiry” yang bermaksud siasatan rasmi.

"'Enquiry' ialah perbuatan bertanya; 'inquiry' lazimnya merujuk siasatan formal seperti suruhanjaya atau tribunal.

"Dalam tradisi Negeri Sembilan, 'enquiry”'ialah proses rundingan dan muafakat — sebagaimana digunakan oleh Weld pada 1885 bagi penyelesaian antara Yam Tuan dan para Datoh, berbeza daripada “investigation” yang digunakannya bagi pemeriksaan pentadbiran.

"Enquiry di bawah Perkara 10 dengan itu ialah siasatan dalaman dan tertutup oleh Undang sendiri, dengan bertanya secara langsung kepada Yang di-Pertuan Besar dan memberi Baginda peluang menjawab, bagi memelihara maruah dan menutup aib Baginda," kata kenyataan itu.

Justeru mereka mempertahankan proses enquiry pada 5 Mac 2026 yang menurut mereka dilaksanakan mengikut Perkara 10 UUTKNS sebelum keputusan melucutkan jawatan Tuanku Muhriz pada 19 April.

Mereka berkata proses itu memberi peluang kepada Tuanku Muhriz menjawab tiga perkara yang dibangkitkan, termasuk dakwaan campur tangan dalam urusan Rembau, menghadiri Persidangan Raja-Raja tanpa berunding dengan Pembesar Memerintah serta kelewatan melantik mufti negeri.

Menurut mereka, proses itu merupakan prosiding dalaman dan tidak memerlukan tribunal atau pendengaran awam.

"Ia tidak menuntut tribunal luar, pendengaran awam atau prosedur ala perbicaraan.

“Full and complete” merujuk kepada skop pertimbangan, bukan formaliti," katanya.

Mereka berkata selepas tempoh pertimbangan 45 hari, Sabda di bawah Perkara 10 ditandatangani pada 19 April, manakala Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar dipilih sebagai Yam Tuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di bawah Perkara 11.

Justeru mereka sekali lagi menggesa kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri dan Peguam Negara mengambil maklum pendirian berkenaan serta menghormati peranan Undang dan kerangka adat serta UUTKNS.