PAS, Umno tuntut janji Loke untuk letak jawatan
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, mengingatkan janji Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan sebagai membantah keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan kes bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Tuan Ibrahim berkata, isu sebenar bukan sama ada Najib pulang ke rumah atau tidak, sebaliknya keputusan Lembaga Pengampunan yang sebelum ini dibantah oleh pihak berkenaan.
“Kalau mahu dilihat sebagai sebuah parti yang mempunyai integriti, mereka perlu membuktikannya. Mereka tidak perlu menunggu Najib pulang atau tidak ke rumah.
“Persoalannya, apabila Lembaga Pengampunan membuat keputusan, beliau membantah dan tidak bersetuju dengan keputusan tersebut,” katanya kepada Harakahdaily.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini mengesahkan dia sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri pengangkutan.
Loke berkata dia bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam untuk menyerahkan surat itu, namun diminta terus memegang jawatan buat masa ini sementara menunggu keputusan muktamad.
Pada 19 Sept, Loke mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan sebagai reaksi terhadap pengampunan bersyarat kepada bekas perdana menteri Najib Razak.
Pengampunan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
/file/attachments/orphans/AnthonyLoke1_107174.png)
Keputusan Loke untuk meletakkan jawatan sebagai menteri itu dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Pada 29 Sept, Loke mengesahkan dia sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri pengangkutan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempersoalkan pihak yang meraikan keputusan Loke meletakkan jawatan dengan mengatakan pemimpin DAP itu menjalankan tugas sebagai menteri dengan baik.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata soal sama ada Najib mampu membayar denda sebanyak RM50 juta tidak timbul kerana Loke telah berjanji meletakkan jawatan sebagai membantah pengampunan bersyarat itu.
“Ini entah apa-apa opera…drama…” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian kepada Harakahdaily.
“Isu integriti bukan hanya soal ‘sapu’ atau salah guna kuasa. Ia juga soal janji. Jangan bohong pada rakyat.
“Kalau sudah berjanji, kena tunaikan. Kalau berjanji untuk letak jawatan, maka tunaikanlah janji itu. Biar rakyat menilai,” katanya.
Umno turut desak tunai janji
Sementara itu, Umno turut menyuarakan perkara yang sama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafi mendakwa PH banyak membuat janji sebelum pilihan raya tetapi mengenakan pelbagai syarat selepas berkuasa.
Dia berkata, rakyat perlu menilai sejauh mana janji yang dibuat ketika mendapatkan sokongan diterjemahkan apabila sesuatu gabungan sudah berada dalam kerajaan.
“Janji dan pengkhianatan terhadap janji sudah sinonim dengan Harapan. Ketika mahu mendapatkan undi, pelbagai janji manis dibuat untuk memenangi hati rakyat.
“Selepas mendapat kuasa, janji menjadi bersyarat, manakala alasan semakin bertambah,” katanya seperti dilapor Umno Online.
/file/attachments/orphans/najib23121_480507.png)
Sehari selepas Lembaga Pengampunan memberikan pengampunan tambahan kepada Najib, Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP memutuskan bahawa Loke akan meletakkan jawatan daripada Kabinet sebagai tanda tidak bersetuju dengan keputusan itu, namun menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam kerajaan.
Loke ketika itu berkata peletakan jawatan semua menteri DAP boleh menjejaskan kestabilan kerajaan pimpinan Anwar.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 2022 mengekalkan sabitan terhadapnya atas tujuh pertuduhan berkaitan SRC International membabitkan RM42 juta.
Lembaga Pengampunan pada 2024 mengurangkan hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.
Najib turut disabitkan dalam kes 1MDB berasingan dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun, yang akan bermula selepas hukuman bagi kes SRC International selesai, tertakluk kepada rayuannya.
/file/attachments/orphans/loketuanibrahim1_138181.png)
