Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jeff Ooi tarik balik 'JIM ekstremis'
Diterbitkan:  Aug 6, 2009 7:49 PM
Dikemaskini: 12:29 PM

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi akan menarik balik kenyataanya yang mendakwa Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebuah pertubuhan ekstremis, atas nasihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Katanya, beliau telah dinasihatkan oleh Lim bahawa JIM bukan sebuah pertubuhan ekstremis dan oleh itu "adalah wajar untuk saya menarik balik kenyataan saya yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 2 Ogos lalu".

"Oleh itu, saya akan mematuhi sepenuhnya arahan tersebut," kata Jeff dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Jeff sebelum dilaporkan mendesak Mohd Razali Abdullah - ahli jawatankuasa Pusat Khidmad Krisis Sehenti (OSC) di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MPPP) - diberhentikan daripada menganggotai jawatankuasa tersebut.

Jeff mendakwa Mohd Razali seorang 'ekstremis agama' kerana beliau merupakan ahli JIM, dan JIM pula meletakkan visinya untuk membangun sebuah negara yang melaksanakan syariat Islam sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya hari ini, Jeff berkata, bagi memperjelaskan perkara itu, maka adalah penting untuk melihatnya dari kontak ia dibangkitkan.

Persekitaran kompleks yang membawa kepada pelantikan Mohd Razali menganggotai OSC di bawah MPPP - terutamanya sebagai ahli JIM yang dicalonkan mewakili PKR, dan tindak tanduknya dalam mesyuarat-mesyuarat OSC - telah menjadi beban politik kepada kerajaan negeri.

"Kita kini akan berurusan dengan beliau dan penerusan keanggotaannya dalam OSC melalui saluran politik," tegas Jeff yang juga ketua kakitangan pejabat ketua menteri Pulau Pinang.

Oleh itu, tambahnya, ia juga amat penting bagi semua pihak yang berkenaan, menghentikan segera pemprofilan agama yang negatif terhadap pemimpin DAP.

Demi kemajuan masa depan Pulau Pinang, kata Jeff, beliau akan terus bercakap mengenai isu-isu yang membabitkan soal urustadbir serta memenuhi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kawasan parlimen Jelutong.

ADS