Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno bahagian Permatang Pauh akan bermesyuarat malam ini untuk memilih calon yang sesuai untuk bertanding mewakili BN dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Malaysiakini difahamkan terdapat empat calon untuk disenaraikan untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat malam ini.

Mereka terdiri daripada Datuk Mohd Nasir Abdullah (timbalan ketua bahagian Permatang Pauh), Rahim Man (naib ketua bahagian), Mohd Zaidi Mohd Said (ketua Pemuda bahagian) dan Abdul Aziz Sheikh Ahmad (ahli jawatankuasa bahagian).

Menurut sumber, nama yang dipilih itu akan dicadangkan kepada pucuk pimpinan Umno pusat untuk membuat keputusan muktamad.

Antara ciri pemilihan calon katanya, ialah anak tempatan Permatang Pasir, mempunyai perwatakan yang baik, berpendidikan dan diterima masyarakat.

"Di samping itu, faktor usia juga memainkan peranan kalau tua tak sepatutnya jadi calon.

"Calon yang boleh berkhidmat untuk parti, yang ada kematangan, 40 tahun dan ke atas," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut sumber itu, faktor calon mempunyai ramai saudara di Permatang Pasir juga merupakan faktor tambahan dalam pemilihan malam ini.

Berpeluang menang

Pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu ekoran serangan jantung.

Permatang Pasir adalah satu daripada tiga kerusi negeri dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Mengulas mengenai 'mood' pengundi di Permatang Pasir, sumber berkata, mereka memahami politik semasa dan oleh itu bijak memilih calon yang mampu berkhidmat untuk mereka.

"Di sini suasana aman, masing-masing jentera buat kerja, pembangkang buat kerja mereka, kita pun buat kerja kita," katanya.

Sumber berkata, BN berpeluang menang dalam pilihanraya kecil kali ini kerana terdapat pengundi yang tidak berpuas hati dengan janji Pakatan Rakyat yang tidak ditunaikan.

"Mereka boleh buat perbandingan semasa kita mentadbir dan Pakatan mentadbir. Di manakalah janji politik dalam pilihanraya umum lalu?

"Sebagai contoh, Tol 50 sen di Sungai Nyior - dalam Parlimen Permatang Pauh - dulu janji hendak dimansuhkan, tapi tidak dimansuhkan sampai sekarang," katanya.

ADS