Seorang guru sebuah sekolah rendah di ibu negara berusia 46 tahun yang turut mengendalikan kelas tuisyen di rumahnya telah didakwa di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan enam pertuduhan mendera secara seksual tiga murid lelaki berusia 11 tahun.

Pertuduhan itu amat berat. Namun, di luar kamar mahkamah, tempat kebenaran dakwaan akan ditentukan, satu lagi persoalan yang membimbangkan masih belum terjawab.

Adakah terdapat tanda amaran bertahun-tahun sebelum dakwaan penderaan ini terbongkar, dan jika ada, mengapa tiada sebarang tindakan diambil?

Malaysiakini menemu bual lebih 10 orang, termasuk ibu bapa, murid, bekas guru dan pentadbir sekolah, serta meneliti salinan laporan polis dan dokumen lain berkaitan kes ini.

Keterangan mereka menunjukkan bahawa kebimbangan mengenai kelakuan guru itu memang diketahui oleh warga sekolah dan pihak berkuasa pendidikan selama bertahun-tahun. Namun, Malaysiakini tidak menemui sebarang rekod tindakan diambil susulan kebimbangan tersebut.

Empat daripada pertuduhan itu, yang dibuat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, melibatkan dakwaan serangan seksual fizikal terhadap ketiga-tiga budak lelaki itu di sebuah rumah antara Julai dan September tahun ini.

Peruntukan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Guru itu turut menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang melibatkan dakwaan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang murid di lokasi yang sama, pada 18 dan 30 September.

Di bawah peruntukan ini, dia berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebatan.

Guru itu sekarang bebas dengan dibenarkan ikat jamin. Kes-kesnya itu akan disebut semula pada 23 November dan 18 Disember.

Lima laporan membabitkan murid lelaki

Dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata polis menerima lima laporan membabitkan lima mangsa lelaki.

Laporan pertama dibuat pada 6 Oktober. Seterusnya, empat laporan dibuat pada 10 dan 11 Oktober, dua pada setiap hari, di sebuah balai polis berhampiran sekolah itu.

Fadil berkata pihak sekolah, keluarga dan pejabat pendidikan daerah (PPD) telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes tersebut.

Fadil Marsus , Ketua Polis Kuala Lumpur

Namun, temu bual Malaysiakini menunjukkan bahawa lapan budak lelaki, tidak termasuk seorang bekas murid, mungkin terjejas, bermakna empat keluarga tidak membuat laporan.

Ibu bapa mereka difahamkan tidak selesa untuk membuat laporan.

Di bawah garis panduan Kementerian Pendidikan 2023 mengenai pengendalian kes salah laku seksual, keputusan itu tidak sepatutnya menamatkan perkara tersebut.

Garis panduan itu menyatakan bahawa jika pelaku yang didakwa ialah seorang guru, guru besar mesti melaporkan kejadian itu secara terus kepada polis dan juga merujuk kes berkenaan kepada jabatan pendidikan negeri.

Secara berasingan, dalam tempoh 24 jam selepas mengetahui sesuatu kejadian, guru besar mesti menghubungi ibu bapa atau penjaga serta membuat laporan polis dengan segera di bawah Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah jika ibu bapa enggan berbuat demikian.

Polis tidak menyatakan sama ada pihak sekolah sendiri membuat sebarang laporan atau sebaliknya. Malaysiakini telah mengajukan soalan kepada kementerian jika guru besar ada berbuat demikian bagi kanak-kanak yang ibu bapa mereka enggan membuat laporan.

Walau bagaimanapun, keterangan ibu bapa dan seorang sumber yang mengetahui perkara itu menunjukkan bahawa dakwaan penderaan tersebut mungkin kekal tidak didedahkan sekiranya seorang murid perempuan tidak terdengar rakan sekolah lelaki berbincang mengenainya dan memaklumkan kepada seorang guru lain.

Pihak sekolah kemudian memanggil murid yang menghadiri kelas tuisyen berkenaan. Seorang ibu bapa memberitahu Malaysiakini bahawa murid-murid itu diminta memberikan kenyataan bertulis mengenai kejadian yang didakwa itu.

Dibangkitkan bertahun-tahun lalu

Sementara itu, seorang bekas pengerusi PIBG memberitahu Malaysiakini bahawa dia pernah mendengar dakwaan mengenai guru itu empat tahun lalu, yang dibangkitkannya dalam satu mesyuarat PIBG ketika itu.

“Namun, guru besar berkata tiada bukti. Selepas itu, tiada apa-apa dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, garis panduan kementerian menyatakan bahawa prosedur pengendalian kes salah laku seksual mesti dimulakan dengan segera dan secara sulit sebaik sahaja guru besar dimaklumkan mengenai aduan, atau mengetahui sesuatu kes melalui laporan media.

Malaysiakini juga mengajukan soalan kepada kementerian mengenai kebimbangan yang dibangkitkan dalam mesyuarat PIBG itu sama ada direkodkan atau dilaporkan kepada pejabat pendidikan daerah pada masa itu.

Bekas pengerusi PIBG itu turut mendakwa bahawa guru besar mendesak PIBG supaya tidak menekan guru tersebut, dengan alasan guru itu mungkin mencederakan dirinya dan PIBG boleh berdepan masalah undang-undang.

Malaysiakini tidak dapat menghubungi guru besar kerana polisi Kementerian Pendidikan melarang media daripada menghubungi guru besar untuk mendapatkan komen.

Laporan terdahulu tidak diambil tindakan?

Kebimbangan itu mungkin melangkaui sekolah yang menjadi pusat siasatan semasa.

Seorang sumber polis berkata satu laporan pernah dibuat terhadap guru yang sama ketika dia berkhidmat di sekolah lain, sebelum ditukarkan ke tempat bertugas sekarang.

Menurut sumber itu, siasatan kes tersebut tidak diteruskan kerana bukti yang tidak mencukupi dan dakwaan kurang kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Polis Kuala Lumpur tidak mengesahkan atau menafikan kewujudan laporan terdahulu itu apabila ditanya. Namun, bekas pengerusi PIBG itu berkata seorang pegawai polis telah memaklumkan kepadanya mengenai kewujudan laporan tersebut.

Hal ini menimbulkan persoalan yang dikemukakan Malaysiakini kepada pihak berkuasa: Adakah kementerian atau PPD mengetahui mengenai laporan itu ketika guru berkenaan ditukarkan?

Jika ya, apakah pertimbangan yang diberikan terhadapnya? Dan bagaimana dia boleh terus mengajar sambil mengendalikan kelas tuisyen di rumah untuk murid, tanpa pemantauan?

Malaysiakini juga mendapati guru itu pernah memberikan tuisyen kepada beberapa murid dari sebuah sekolah lain yang berdekatan.

Seorang ibu bapa turut mendakwa bahawa PIBG semasa enggan campur tangan atas alasan kejadian itu berlaku di luar sekolah.

Soalan bertulis Malaysiakini kepada pengerusi PIBG semasa juga tidak dijawab.

Bagi sesetengah ibu bapa, kebimbangan itu melangkaui soal sama ada amaran terdahulu diabaikan, kepada cara pihak sekolah mengendalikan siasatan sejak dakwaan itu timbul.

Beberapa ibu bapa mendakwa pihak sekolah enggan membenarkan mereka melihat kenyataan bertulis anak-anak mereka, dengan alasan kenyataan itu adalah bahan siasatan.

“Mereka anak kami. Kami berhak untuk tahu,” kata seorang ibu.

Garis panduan kementerian menghendaki guru besar mengendalikan kes sedemikian secara sulit, yang mungkin menjelaskan pendirian pihak sekolah mengenai kenyataan tersebut. Garis panduan itu tidak menyentuh sama ada ibu bapa boleh melihat kenyataan bertulis anak-anak mereka.

Kekurangan sokongan psikososial

Ibu bapa yang ditemu bual Malaysiakini juga berkata tiada pelajar atau keluarga mereka yang ditawarkan kaunseling atau sokongan psikososial.

Seorang ibu bapa berkata sekolah itu tidak mempunyai guru kaunseling kerana enrolmennya yang kurang daripada 500 murid yang dianggap terlalu kecil.

“Selepas kejadian itu, seorang guru bercakap dengan murid yang terjejas. Namun, guru itu bukan kaunselor yang dilantik.

“Jika ada kaunselor, mungkin kanak-kanak ini berpeluang untuk bersuara lebih awal,” katanya.

Di bawah surat pekeliling profesional Kementerian Pendidikan mengenai bimbingan dan kaunseling, nisbah sasaran ialah seorang guru kaunseling bagi setiap 500 murid.

Namun, garis panduan itu tidak terhad kepada sekolah yang mempunyai guru kaunseling. Ia menghendaki guru besar memastikan mangsa dan saksi menjalani sesi intervensi pemulihan yang dikendalikan oleh guru bimbingan dan kaunseling, tanpa mengira keputusan sebarang prosiding mahkamah.

Malaysiakini memahami bahawa sekolah yang lebih kecil boleh mendapatkan perkhidmatan sedemikian melalui guru sedia ada yang dilantik memegang peranan kaunseling atau kaunselor bergerak yang disediakan di bawah PPD.

Seorang bapa kepada seorang bekas murid mempersoalkan sama ada peruntukan sumber manusia oleh jabatan pendidikan, serta permohonan sekolah untuk perkhidmatan kaunseling bergerak, telah dikendalikan dengan betul.

Isu ini menimbulkan satu lagi persoalan. Apabila sesebuah sekolah tidak mempunyai guru kaunseling khusus, apakah pengaturan yang ada bagi memastikan murid dapat mendedahkan perkara sensitif dengan selamat dan mendapatkan sokongan apabila mereka memerlukannya?

Malaysiakini telah menghantar soalan bertulis kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan mengenai laporan terdahulu itu, pertukaran guru berkenaan, sokongan untuk murid dan pelaksanaan dasar kaunseling.

Kami turut ingin tahu jika guru itu telah digantung tugas atau dikenakan tindakan disiplin susulan pertuduhan tersebut.

Namun, tiada jawapan diterima pada masa penerbitan berita ini.

Pada 19 Oktober, Malaysiakini mengunjungi Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan tetapi dimaklumkan bahawa pengarahnya sedang bercuti sakit.

Namun, seorang jurucakap mengesahkan bahawa jabatan itu telah menerima soalan Malaysiakini melalui e-mel.


Nota editor: Malaysiakini tidak menamakan murid dan ibu bapa yang ditemu bual, mahupun sekolah atau guru berkenaan.

Semua mangsa adalah kanak-kanak, dan undang-undang Malaysia, termasuk Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, melarang penerbitan maklumat yang boleh mengenal pasti diri mereka.

Menamakan sekolah, guru, hakim atau lokasi kejadian yang didakwa itu boleh secara tidak langsung mendedahkan identiti mereka dan mengundang stigma, buli serta trauma berulang. Guru itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.