Status MB Negeri Sembilan: Saya tak letak jawatan, kata Ismail nafikan laporan media
Di sebalik khabar angin kononnya berlaku peletakan jawatan menteri besar di Negeri Sembilan, tuan punya badan itu bahkan tampil memberi penjelasan.
Dihubungi Malaysiakini, Ismail Lasim menganggap dakwaan dia berundur dari jawatan menteri besar sebagai "mainan politik" semata-mata.
Adun Juasseh itu dihubungi bagi mendapatkan pengesahan terhadap laporan sebuah portal berita berbahasa Cina yang mendakwa dia sudah menurunkan tandatangan berundur.
“Mainan politik saja ni... tak betul.
"Saya tak letak jawatan," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp lewat petang ini.
Terdahulu, China Press dalam satu laporannya menyiarkan artikel dengan tajuk 'Ismail Lasim sudah menandatangani surat peletakan jawatan'.
Laporan itu juga berkisar mengenai kemelut pentadbiran di negeri tersebut yang turut terkait dengan istana dan belum menampakkan tanda-tanda akan selesai.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias hari ini meminta supaya semua pihak memberi ruang agar kepimpinan negeri menyelesaikan sendiri urusannya.
Bercakap di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Jelebu merangkap Adun Pertang itu membuat penegasan selepas Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rasol Wahid, bangun mencelah mengenai perkara itu.
"Hulu Terengganu tak perlu bimbang, perkara ini akan diselesaikan.
"Biar Negeri Sembilan menyelesaikan urusannya sendiri," katanya.
Pada 20 Sept lalu, Istana Menanti mengumumkan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menarik balik pelantikan 10 exco yang dilantik Ismail.
Perkembangan itu hadir selepas Ismail dilaporkan menandatangani proklamasi bagi menurunkan takhta Tuanku Muhriz.
Ismail turut menjadi perhatian selepas dimarahi secara terbuka oleh Tuanku Muhriz di Masjid Kampung Beting, Juaseh, Kuala Pilah.
Dalam perkembangan sama Adun Lenggeng Mohd Asna Amin ketika dihubungi menyifatkan laporan portal berkenaan hanyalah gosip.
"MB (menteri besar) kata tak ada, ini gosip," katanya.
Setiausaha Akhbar Ismail, Mohd Fasha Musthafa, turut menafikan laporan yang disiarkan China Press itu.
"Menteri besar bertugas seperti biasa hari ini. (Dari) Mana sumber (laporan) China Press dapat? (Ini) tak benar," katanya kepada Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/IsmailBinLasim2_876768.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.