Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teoh masuk Plaza Masalam 6.08 petang
Diterbitkan:  Aug 12, 2009 12:02 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

CCTV di Plaza Masalam merakamkan Teoh Beng Hock memasuki bangunan tersebut melalui kawasan lobinya di tingkat empat pada jam 18:08:55.

Bagaimanapun tidak ada tarikh dipaparkan pada rakaman tersebut.

Perkara ini dinyatakan oleh Inspektor Mohd Zulaimi Zubir yang telah menyaksikan rakaman CCTV itu, untuk menyemak masa bila Teoh memasuki bangunan tersebut untuk disoalsiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh hari ini, Mohd Zulaimi berkata beliau diminta oleh pegawai atasannya untuk menyemak rakaman CCTV tersebut.

NONE Rakaman CCTV itu turut ditayangkan dalam inkues tersebut untuk ditonton oleh koroner Azmil Muntapha Abas.

Mohd Zulaimi, dari jabatan jenayah ibupejabat polis Shah Alam juga berkata, tidak terdapat rakaman Teoh meninggalkan bangunan tersebut.

Rakaman Teoh memasuki bangunan tersebut hanya menunjukkan dari belakang tetapi Mohd Zulaimi berkata, beliau mengecamnya sebagai Teoh berdasarkan pakaiannya.

Teoh diminta hadir di pejabat SPRM Selangor untuk memberi kenyataan saksi pada 15 Julai lalu.

Setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat 5 Plaza Masalam pada hari berikutnya.

Mohd Zulaimi memberitahu hasil siasatannya, tiada CCTV diletakkan di tempat Teoh ditemui mati dan kebanyakan kamera berada di tempat letak kereta, pintu utama dan jalan masuk ke pasaraya.

Menceritakan penglibatan beliau dalam siasatan kes itu, Mohd Zulaimi berkata beliau berada di tempat kejadian pada pukul 2.20 petang dan ketika itu mayat mendiang telahpun ditutup dengan plastik hitam.

"Selepas itu saya telah membuka plastik tersebut dan melihat keadaan mayat dan saya mendapati ia mayat seorang lelaki berbangsa Cina dalam keadaan tertiarap sebelah kanan dan terdapat kesan darah kering di bahagian mulut dan hidung.

"Mayat itu telah ditinggalkan di situ dan tidak lama kemudian saya lihat beberapa pegawai dipercayai dari SPRM turun ke tempat kejadian dan saya menemui mereka. Mereka mengesahkan si mati itu adalah salah seorang saksi mereka," katanya.

Mohd Zulaimi berkata pada pukul 3.10 petang hari yang sama, beliau dan beberapa anggota telah pergi ke pejabat SPRM untuk mengenal pasti butiran si mati dan beliau kemudiannya diarahkan mengesan rekod Teoh menerusi nombor kad pengenalannya.

Katanya hasil siasatan tiada sebarang rekod jenayah dicatatkan menerusi nama Teoh.

Mohd Zulaimi dipanggil memberi keterangan hari ini ekoran pakar pathologi Dr Khairul Azman Ibrahim tidak dapat menyambung keterangannya kerana tidak sihat.

Beliau sepatutnya disoal balas oleh para peguam keluarga Teoh Beng Hock serta peguam yang mewakili kerajaan Selangor dan Majlis Peguam hari ini.

azlan Bagaimanapun, di permulaan sesi inkues pada jam 10.35 pagi ini, peguam yang dilantik kerajaan, Tan Hock Huan, yang membantu koroner Azmil Muntapha Abas, memaklumkan bahawa Dr Khairul tidak sihat dan tidak dapat hadir hari ini.

Dr Khairul sebelum ini memberitahu beliau berasa tidak sihat dan sakit tekak ketika memberi keterangan semalam.

Tan juga berkata, seorang lagi pakar pathologi Dr Prashant Naresh Semberkar, yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Teoh bersama Dr Khairul, juga tidak sihat dan tidak dapat memberi keterangan hari ini.

Koroner Azmil kemudiannya bersetuju supaya kedua-dua saksi tersebut memberi keterangan pada hari lain, kemungkinan esok.

Inkues diteruskan dengan mendengar keterangan pegawai polis yang pertama tiba di tempat kejadian. Anggota pasukan forensik polis juga dijangka dipanggil memberi keterangan.

Manakala di dewan Mahkamah Majistret Shah Alam pula, ramai memakai penutup muka, termasuk Tan dan beberapa wartawan yang membuat liputan, ekoran wabak influenza A (H1N1) sekarang.

[Berita lanjut menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS