Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: BN bersedia tangkis serangan pada Rohaizat
Diterbitkan:  Aug 17, 2009 4:40 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Timbalan Preisen Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa BN telah membuat semakan terperinci berhubung kes pelucutan kelayakan calonnya Rohaizat Othman sebagai seorang peguam dan mendapati ia bukan satu isu kontroversi seperti yang didakwa oleh Pakatan Rakyat.

NONE Bagaimanapun, beliau yang juga timbalan perdana menteri percayai Pakatan akan melancarkan serangan peribadi terhadap Rohaizat berhubung isu tersebut.

"Tetapi kita sudah bersedia untuk menghadapinya," katanya sambil menambah pihaknya mempunyai caranya tersendiri untuk menangkis dakwaan tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas penamaan calon pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir, Muhyiddin berkata, Rohaizat dipilih untuk menawarkan calon muda dan dinamik kepada penduduk Permatang Pasir.

"Kita boleh menang jika kita menggunakan strategi yang betul," kata Muhyiddin lagi.

Pilihanraya kecil Permatang Pasir merupakan yang ketiga dalam tempoh setahun dalam kawasan parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia juga merupakan pilihanraya kecil kelapan yang diadakan selepas pilihanraya umum tahun lalu di mana enam daripadanya dimenangi oleh Pakatan, manakala BN menang kerusi DUN Batang Ai di Sarawak.

Kubu kuat PAS

Kerusi Permatang Pasir kosong ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman yang mewakili kawasan itu selama tiga penggal. PAS memenanginya sejak 1999.

Pada 2008, Hamdan mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 5,433 undi, dengan menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib.

NONE Dalam pilihanraya umum tersebut, PAS memenangi kesemua sembilan pusat pengundian dalam DUN tersebut, yang terdiri daripada Sama Gagah, Permatang Ara, Permatang Pauh, Bukit Indera Muda, Kampung Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat, Cross Street dan Permatang Tengah.

Daripada 39 saluran dalam DUN berkenaan, PAS hanya tewas dua - Permatang Ara dengan tujuh undi dan Bukit Indera Muda dengan 15 undi.

DUN berkenaan mempunyai 20,290 pengundi dan satu undi pos, dengan 72.36 peratus pengundi Melayu, 25.85 peratus Chinese, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain. Terdapat tambahan 300 pengundi baru kali ini.

Sementara itu, calon PAS - Mohd Salleh Man merupakan graduan Universiti Malaya yang kini bekerja sendiri.

Beliau pernah bertugas sebagai pengurus sebuahg sekolah swasta, pegawai masjid dan pendakwah bebas.

Mohd Salleh mendakwa beliau mahu meneruskan perjuangan dan tanggungjawab yang ditinggalkan oleh allahyarham Hamdan.

Manakala Rohaizat pula membayangkan tema kempennya ialah untuk membawa Permatang Pasir ke dalam program pembangunan perdana.

'Majoriti lebih kecil'

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, Mohd Salleh dipilih kerana latarbelakang pengetahuan agama, sifat baiknya dan kelayakan akademiknya.

Menurutnya, parti-parti komponen Pakatan bersatu padu dan akan bersama-sama bekerja keras untuk menjamin kemenangan Mohd Salleh.

NONE Pemimpin Pakatan seperti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, Pakatan akan menggerakkan pemimpin dan penyokongnnya bagi memastikan kemenangan Mohd Salleh.

Merujuk kepada pilihan raya kecil Manek Urai, di mana PAS mengekalkannya dengan majoriti tipis 65 undi, Mahfuz berkata, Mohd Salleh boleh menang walaupun mungkin dengan majoriti lebih kecil.

Beliau yakin BN akan menggunakan pelbagai taktik dan jentera kerajaan untuk meraih undi.

Bagaimanapun, beliau berpendapat isu pembatalan lesen peguam sivil calon BN, Rohaizat memberi kelebihan kepada PAS untuk membuktikan bahawa calon mereka lebih sesuai.

Sementara itu, ahli parlimen PKR, Yusmadi Yusoff berkata 40 peratus pengundi muda di situ akan menjadi kunci utama kemenangan Pakatan di situ.

"Kita akan bekerja keras untuk memastikan mereka mengundi PAS," katanya.

Pakatan bekerja keras

Sementara itu, Bernama melaporkan Mohd Salleh yakin PAS akan dapat mempertahankan kerusi berkenaan pada 25 Ogos ini.

Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada kekuatan PAS di kawasan berkenaan, yang merupakan satu-satunya kubu parti itu di Pulau Pinang.

NONE Beliau berharap kejayaan penyandang kerusi DUN Permatang Pasir, allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman mempertahankan kawasan itu selama tiga penggal berturut-turut akan diulangi kali ini.

"Kawasan ini merupakan kubu kuat PAS dan dengan sokongan jentera pakatan pembangkang, saya percaya kami mampu mempertahankan kerusi itu," katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam hari ini.

Sementara itu, Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang pula berkata pilihan raya yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu itu membolehkan pengundi membuat keputusan yang jelas dan tepat.

Anwar pula berkata jentera pakatan pembangkang akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon PAS.

ADS