Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tokoh utama DAP Lim Kit Siang menyifatkan pemecatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek daripada MCA berhubung skandal seksnya awal tahun lalu sebagai "mengejutkan" dan "tidak masuk akal".

"Sudah tentu saya terkejut. Tidak masuk akal perkara ini boleh berlaku. Dr Chua dipecat ekoran apa yang berlaku pada Disember 2007. Kalau dipecat atas alasan lain, saya boleh faham," katanya hari ini.

NONE Ahli parlimen Ipoh Timur mengulas keputusan Majlis Presiden MCA malam tadi yang memecat timbalan presiden MCA itu selepas menerima syor sedemikian daripada jawatankuasa disiplinnya atas dakwaan mencemarkan imej parti.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat DAP di Petaling Jaya hari ini, Lim menjelaskan, beliau boleh memahami keputusan itu jika ada alasan kukuh, seperti berlakunya sabotaj atau halangan terhadap pelaksanaan dasar MCA.

Turut hadir, ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Tan Boon Wah dan exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang juga bekas majikan mendiang Teoh Beng Hock.

Sementara itu, berhubung inkues kematian Teoh, Lim menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon maaf berhubung keterangan pegawai penyiasatnya Mohd Anuar Ismail yang mengaitkan mendiang dengan kelulusan projek yang tidak wujud.

"Walaupun koronor Azmil Muntapha Abas telah memerintahkan keterangan itu dipadam, tetapi kerosakan (nama) sudah pun berlaku," katanya.

ADS