Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno bahagian Teluk Kemang sebulat suara menyokong pemilihan ketua bahagian, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Umno bahagian tersebut petang semalam yang dihadiri oleh 33 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian. Cuma seorang AJK tidak hadir

Timbalan pengarah pilihanraya kecil BN bagi DUN tersebut, Mohd Faizal Ramli memberitahu Malaysiakini bahawa tiada nama lain dicadangkan malam tadi.

Sebaliknya, Faizal yang juga ketua Pemuda bahagian berkata, Isa merupakan calon tunggal yang dipersetujui sebulat suara malam tadi.

Katanya, menurut prosedurnya, perkara itu akan dimaklumkan kepada Umno negeri yang seterusnya akan dimajukan ke peringkat pusat.

Sebelum ini, pengerusi perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan dilaporkan berkata, pihaknya akan menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh Umno bahagian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu diadakan.

Bagaimanapun, menurut peraturan, pilihanraya kecil itu mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongannya.

Mengenai persiapan menghadapi pilihanraya kecil tersebut, Faizal berkata, Umno bahagian sedia bersedia.

"Kita telah tubuhkan bilik gerakan. Kita akan bergerak mengikut keadaan semasa," katanya.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya dari BN, Azman Mohamad Noor.

Azman yang juga bekas naib ketua bahagian itu, meninggal dunia Jumaat lalu akibat jangkitan dalam darah.

Dalam pilihan raya umum tahun lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi, menewaskan calon PAS Ramli Ismail yang memperolehi 4,097 undi.

ADS