Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas hari ini selepas bercuti selama seminggu.

Menurut kenyataan AKPS, Shuhaily mempengerusikan mesyuarat Commander's Call agensi berkenaan yang ketiga bagi tahun 2026 di Putrajaya, yang menghimpunkan semua pegawai kanan dan komander yang bertugas di pintu masuk negara.

Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada Gerak Atur 2027, khususnya dalam memperkukuh hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.

“Fokus jelas. Gerak kerja diperkemas. Misi diteruskan. AKPS terus komited memperkukuh kecekapan pengoperasian, integriti dan keselamatan pintu masuk negara,” kata agensi itu.

Pengumuman itu dibuat empat hari selepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian membuat keputusan untuk menamatkan penempatan Shuhaily di AKPS dan ajan mengembalikannya ke pasukan polis.

Saifuddin berkata kementerian membuat keputusan itu pada minggu sebelumnya dan polis akan menentukan penempatan Shuhaily yang seterusnya.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata pada 30 Okt bahawa penempatan baharu Shuhaily hanya boleh ditentukan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan pelantikannya lebih awal di AKPS.

Dia berkata polis sedang menunggu nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara sebelum memohon perkenan Seri Paduka Baginda.

Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 1 Julai 2025 bagi tempoh dua tahun yang berakhir pada 30 Jun 2027.

Cadangan membawa dia semula ke pasukan polis menyusuli penampilannya di mahkamah pada 21 Okt, apabila dia mengaku tidak salah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 Sept.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.


Belum ada perbincangan pengganti Shuhaily

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin hari ini berkata belum ada perbincangan dibuat berhubung pengganti Shuhaily sebagai ketua pengarah AKPS.

Bernama memetiknya sebagai berkata, sebarang tindakan terhadap penjawat awam yang berdepan siasatan dan pertuduhan perlu diuruskan mengikut sistem serta prosedur perkhidmatan awam yang ditetapkan.

“Kita belum bincang dan belum melihat apa-apa lagi.

“Dari segi penjawat awam, apabila berlaku sesuatu kejadian yang membawa kepada siasatan dan seterusnya pertuduhan, ada sistem yang perlu dipatuhi dan perkara itu diuruskan oleh bahagian perkhidmatan awam.

“Itulah yang sedang dilakukan,” katanya selepas menghadiri Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Pemandu Bas Negeri Kedah di Alor Star.

Shuhaily dilantik sebagai ketua pengarah AKPS pada 1 Julai 2025 bagi tempoh dua tahun yang akan berakhir pada 30 Jun 2027.

Pada 31 Okt, Peguam Negara Dusuki Mokhtar menafikan sebarang penglibatan dalam keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk mengembalikan Shuhaily ke pasukan polis.

"Kami belum memberikan pandangan rasmi kerana perkara ini belum dirujuk kepada AGC. Ini hanya tindakan pentadbiran oleh Kementerian Dalam Negeri, jadi kami tidak akan campur tangan.

"Sama ada Shuhaily kekal di sana atau dipindahkan semula ke pasukan polis, kami tidak akan campur tangan. Perkara itu lebih kepada urusan pentadbiran," tambahnya.