PARLIMEN l Seorang ahli Parlimen kerajaan dari Sarawak menggesa menteri-menteri Persekutuan supaya menyelesaikan pertikaian berhubung peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) secara dalaman pada mesyuarat kabinet akan datang bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Gesaan Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) itu dibuat susulan pertikaian berpanjangan antara KKDW yang diterajui Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan Kementerian Kewangan berhubung dakwaan perbelanjaan kementerian itu melebihi peruntukan.

Menurut Willie, isu berkenaan turut mengelirukan ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak, khususnya selepas Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan memberitahu Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa Kementerian Kewangan tidak membatalkan sebarang projek jalan raya, sedangkan beberapa kontraktor mendakwa sebaliknya.

Amir Hamzah Azizan

"Sebab saya mendengar dengan teliti apa yang dijawab oleh Menteri Kewangan II. Beliau mengatakan projek itu memang tidak dibatalkan, tetapi saya difahamkan oleh kontraktor di kawasan saya, mereka menerima surat pembatalan.

"Kita keliru.

"Jadi, saya mohon kita dalam kerajaan, kita duduk berbincang sama-sama dengan menteri-menteri Kabinet. Bincang secara dalaman.

"Tak payah kita bawa keluar sebab dia macam kita bergaduh sesama sendiri.

"Yang ini cakap lain, yang ini cakap lain. Jadi, kita sebagai ahli Parlimen pun keliru.

"Ada kontraktor yang datang jumpa kita, dia kata, 'Eh, projek ini dah dibatalkan.'

"Jadi, kita tidak tahu siapa yang bercakap benar sekarang.

"Kalau ahli Parlimen pun keliru, rakyat di luar pun keliru juga," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Belanjawan 2027 di peringkat jawatankuasa, malam ini.

Ahmad Zahid Hamidi

Sebelum itu semasa mencelah ucapan pengulungan menteri bagi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud, Willie berkata beberapa kontraktor datang dan memberitahu projek berkenaan telah dibatalkan'.

"Jadi, kami tidak tahu pihak mana yang bercakap benar sekarang," katanya. Mustapha sebagai maklum balas mengekalkan pendirian bahawa projek berkenaan tidak dibatalkan melainkan hanya ditangguhkan, seperti yang diterangkan secara terperinci oleh Amir Hamzah.

Mustapha turut bersetuju bahawa perkara seumpama itu sepatutnya dibincangkan secara dalaman di peringkat Kabinet berbanding dibangkitkan di Parlimen, memandangkan kenyataan yang bercanggah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan awam.

Sebelum ini, timbul pertikaian berhubung peruntukan projek jalan luar bandar di bawah KKDW yang diterajui Zahid, yang juga timbalan perdana menteri.

Mustapha Sakmud

September lalu, Zahid meluahkan rasa kecewa terhadap kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang telah menyiapkan projek dan memenuhi sasaran, sambil berkata kelewatan itu menyebabkan masalah aliran tunai sehingga ada antara mereka terpaksa menutup perniagaan.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican menafikan dakwaan bahawa terdapat sekatan terhadap peruntukan jalan luar bandar KKDW, dengan menjelaskan bahawa keseluruhan jumlah yang diluluskan telah disalurkan.

Dia mengaitkan kelewatan pembayaran itu dengan peruntukan tahun ini yang hampir habis, sambil mendakwa KKDW secara konsisten membuat komitmen dan perbelanjaan melebihi bajet yang diluluskan.

Kementerian Kewangan kemudiannya meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Pertikaian itu berterusan pada 20 Okt apabila Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa KKDW menerima tambahan RM500 juta daripada penjimatan peruntukan pembangunan kementerian lain bagi menampung perbelanjaan yang melebihi bajet tahunannya.

Kementerian Kewangan turut memaklumkan bahawa KKDW telah diarahkan supaya menggantung pengeluaran surat setuju terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar mulai 10 Sept bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat.

Pada Khamis, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 bagi pihak Kementerian Kewangan di Parlimen, Amir Hamzah menegaskan bahawa projek jalan luar bandar berkenaan tidak dibatalkan seperti yang didakwa, sebaliknya pengeluaran SST baharu hanya ditangguhkan.