ALSO BY

By K Kabilan

Sultan Pahang miliki anak luar nikah: Bekas jururawat Filipina

terjemahan Sultan Pahang dituduh meninggalkan seorang anak perempuan hasil hubungan sulitnya yang didakwa dengan seorang jururawat berbangsa Filipina pada awal 1980-an.

Gadis itu, Carla Brizuela Shah, 19, dan ibunya Dina Brizuela Cooper, 47, kini tinggal di California, Amerika Syarikat.

Dina mendakwa beliau dipaksa mengadakan hubungan seks beberapa kali dengan Sultan Ahmad Shah ketika baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong dari 1979 hingga 1984. Kata wanita itu, hasil hubungan itu beliau hamil tetapi baginda tidak mempedulikannya dan anaknya itu.

Sebagai menerima tanggungjawab bapa, baginda sebelum ini bersedia berunding dengan Dina untuk memberikan wang sebanyak RM10 juta sejak 1997 bagi menyelesaikannya.

Bagaimanapun, apabila rundingan dengan baginda, yang diwakili peguam Michael Chong, gagal, Dina membina satu [#1]laman web[/#] bagi mendedahkan ceritanya dan beberapa percubaannya yang gagal mendapatkan penerimaan baginda dan keluarga diraja.

Apabila dihubungi malaysiakini, Chong tidak bersedia mengulas hal ini.

"Saya tidak mahu mengulas perkara yang diterbitkan dalam sebuah laman web peribadi," katanya.

Dina memberitahu malaysiakini, terdapat beberapa sebab yang menjadi punca rundingan itu gagal.

"Saya mahu sebarang perbincangan harus memasukkan tiga syarat," jawabnya dalam satu mesej yang dihantar melalui faksimili.

Syarat itu ialah pengiktirafan secara bertulis bahawa baginda sebagai bapa Carla, gadis itu dibenarkan melawat bapanya setiap tahun dan Carla diterima sebagai seorang anak sultan. Dina menegaskan wang bukanlah faktor yang mendorongnya berunding dengan baginda.

Bagaimanapun satu sumber yang rapat dengan Sultan menafikannya, dan menyebutkan rundingan itu gagal kerana Dina tidak bersetuju dengan jumlah yang ditawarkan oleh baginda.

"Jumlah terakhir yang ditawarkan kepada Dina dan Carla kira-kira RM10 juta. Dina, bagaimanapun, mahu Carla diterima sebagai sebahagian pewaris harta baginda," kata satu sumber yang sangat dipercayai.

Sumber itu menyebutkan baginda telah bersetuju memindahkan satu hartanah di Los Angeles kepada Dina bagi pihak anaknya.

Tempoh berahsia 10 kepada 20 tahun

Siasatan malaysiakini mendedahkan hartanah itu, sebuah rumah dengan enam bilik tidur di pinggir bandar yang hampir dengan kawasan mewah Beverly Hills, bernilai AS$1.1 juta (RM4.1 juta).

"Sultan juga menawarkan untuk membayar kira-kira AS$100,000 (RM380,000) kepada Dina dan juga AS$50,000 (RM190,000) setiap tahun dalam tempoh enam tahun bagi pelajaran Carla," kata sumber itu lagi.

Jumlah-jum lah ini disahkan dalam beberapa pucuk surat - semuanya didedahkan di laman web Dina - yang dihantar oleh Chong kepada peguam wanita itu di Amerika Syarikat.

Sumber itu turut menyebutkan sejak awal rundingan pada 1997, baginda telah membayar AS$130,000 (RM494,000) kepada Carla dan emaknya sebagai perbelanjaan mereka.

"Apa lagi yang mereka mahu? Baginda telah bermurah hati memberikan bantuan kewangan dan malah menerima Carla sebagai anaknya," kata sumber.

Dina berkata rundingan itu akhirnya putus hujung tahun lalu selepas baginda dan peguam-peguamnya menarik semula butir-butiran perjanjian yang telah dipersetujui sebelumnya.

"Mereka tidak bersedia meneruskan sokongan kewangan seperti dipersetujui. Mereka juga mahu tempoh menyimpan rahsia (tentang hal ini) digandakan daripada 10 kepada 20 tahun selepas kemangkatan baginda," katanya.

Beliau berkata alasan menggandakan tempoh berahsia itu bertujuan menyembunyikan berita bahawa baginda adalah bapa sebenar Carla, sambil menambah rundingan itu juga gagal akibat mereka tidak bersetuju hak pusaka untuk anaknya.

"Kami telah jelaskan dari awal bahawa kami tidak akan bersetuju terhadap sebarang penyelesaian yang menafikan hak Carla untuk mendapatkan warisan selepas kematian ayahnya," kata Dina.

"Carla sedia menerima syarat pusaka ketika hayat baginda. Bagaimanapun sebarang tuntutan untuk menggugurkan hak, yang wajar dia dapat, sebagai prasyarat kepada penyelesaian tidak akan diterima."

Dina berkata pada rundingan terakhir, peguam baginda cuba "mengugut dan membuli" beliau dan Carla dengan cara menerima penyelesaian umum tetapi dengan menggugurkan semua hak Carla pada masa depan.

"Kami tidak bersetuju dan mereka pun meninggalkan mesyuarat itu."

Sumber itu menafikan hal itu dengan menjelaskan daripada awal, Carla dinafikan hak harta pusaka menurut hukum Islam.

Pertemuan dengan Carla

"Perkara ini jelas dari sudut undang-undang Islam. Seorang anak luar nikah tidak mempunyai hak mempusakai harta bapanya," kata sumber itu lagi, sambil menambah gadis itu tidak boleh dianggap anak yang sah pada pandangan agama.

Sumber itu menambah, baginda telah melawat Carla sebanyak dua kali dan ketika itu jika Dina ingin meneruskannya, rundingan itu mungkin berhasil.

Bagaimanapun Dina, yang mengesahkan baginda pernah bertemu Carla, berkata baginda tidak pernah menandatangani sebarang surat yang mengiktiraf Carla sebagai anaknya. Dina juga berkata beliau fikir baginda keberatan untuk memulakan atau meneruskan hubungan dengan Carla.

"Tidak pernah baginda atau anggota keluarganya menjawab surat-surat yang dihantar Carla atau saya. Mereka tidak pernah peduli untuk menerima panggilan telefon, menjawab kiriman faksimili atau apa sahaja," kata Dina.

Beliau berkata pada peringkat awal rundingan, satu tawaran dibuat kepadanya melalui surat bertarikh 18 Mac 1999.

Satu salinan surat itu, yang boleh diperolehi daripada laman itu, menyebutkan baginda akan memindahkan hartanah di Los Angeles kepada Dina sebagai pemegang amanah bagi pihak anaknya. Surat itu menyebutkan baginda bersedia membiayai pendidikan dan perbelanjaan dalam tempoh enam tahun mulai 1999.

Surat itu menghendaki Dina agar tidak membuat sebarang tuntutan pada masa depan berkaitan perhubungan silam antara baginda dengan gadis itu.

Sumber itu, yang rapat dengan keluarga diraja, berkata tawaran baginda yang disebutkan dalam surat itu sudah mencukupi untuk keselesaan ibu dan anak itu.

Bagaimanapun, sumber itu mendakwa surat yang diterbitkan dalam laman web itu tidak lengkap seperti salinan asal.

"Dalam surat asal, Dina telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima penyelesaian yang ditawarkan oleh baginda. Beliau bersetuju anak itu adalah hasil hubungan antaranya dengan baginda. Tetapi beliau kini mendakwa dirogol pula," kata sumber.

Sumber itu menambah, Dina hanya berminat mendapatkan wang dan ingin mendapat lebih daripada yang baginda tawarkan.

"Dina tidak berminat dengan kesejahteraan anaknya. Jika berminat, beliau tentunya sudah menerima wang dan hartanah itu. Wang itu mungkin boleh digunakan untuk pelajaran Carla. Beliau mahu kekayaan baginda dengan menjadikan Carla sebagai sebahagian pewaris pusaka. Beliau telah diberikan nasihat yang salah tentang hal ini. Undang-undang syariah tidak membenarkannya," tegas sumber itu.

Hak sebagai anak

Menjawab hal ini, Dina berkata Carla hanya ingin peluang mencari kemungkinan sama ada gadis itu mempunyai hak sebagai anak baginda di bawah undang-undang Islam atau peruntukan undang-undang lain.

"Ini tidak boleh dianggap dia (Carla) ingin menjadi anggota keluarga diraja atau tinggal di Malaysia, kerana dia sendiri tahu itu tidak akan mungkin dan tidak pula bersesuaian dengan pandangannya yang sederhana," kata Dina.

Sumber istana juga berkata Dina mahu semuanya disebut dalam perjanjian, bermula hak melawat hingga penerimaan Carla dalam keluarga diraja.

Bahagian 2 Terjemahan berita 'Sultan fathered illegitimate daughter, says ex-Filipino nurse' esok