Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Video demo kepala lembu: Siasatan SKMM terus dikritik
Diterbitkan:  Sep 17, 2009 12:42 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Malaysiakini kini mendapat kritikan meluas aktivis media, termasuk yang berpengaruh luas di peringkat antarabangsa.

NONE Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), yang berpangkalan di New York, menggesa kerajaan menghentikan mengacau akhbar itu dan menyifatkan siasatan suruhanjaya itu sebagai tindakan mungkir janji untuk menjamin kebebasan dalam talian.

"Gangguan terhadap Malaysiakini menunjukkan kerajaan Malaysia telah melupakan ikrarnya suatu waktu dulu untuk tidak menapis Internet," kata seorang penyelarasnya Bob Dietz.

"Kami menyeru pihak berkuasa agar menghentikan satu daripada sejumlah kecil sumber berita yang bebas dan dihormati di peringkat antarabangsa."

Sementara sebuah NGO kebebasan media yang berpangkalan di Filipina turut mengkritik siasatan SKMM itu yang disifatkannya sebagai tidak mempunyai apa-apa alasan.

Dalam suratnya kepada suruhanjaya semalam, pengarah eksekutif Pusat Kebebasan dan Tanggungjawab Media (CMFR) Melinda De Jesus berkata, keputusan Malaysiakini membuat liputan dua acara tersebut bertepatan dengan amalan dan piawaian kewartawanan.

"CMFR menuntut SKMM menghentikan gangguan terhadap Malaysiakini dan pengarangnya, supaya ia boleh beroperasi sebagai organisasi media untuk melaporkan berita kepada orang ramai yang berkaitan dengan kepentingan mereka," katanya.

Kelmarin, Pemuda Gerakan menggesa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengarahkan SKMM menghentikan gangguannya terhadap Malaysiakini .

Tindakan menyiasat akhbar web itu - secara intensif selama beberapa hari minggu lalu - bertentangan dengan hasrat kerajaan yang menekankan kebebasan bersuara, kata Naib Ketua Pemudanya, Liang Teck Meng.

Pada 14 Sept lalu, sekumpulan NGO hak asasi dan penulis blog berkumpul secara aman di depan pejabat Malaysiakini di Bangsar Utama, Kuala Lumpur sebagai membantah tindakan menyiasat portal berita itu selama empat hari mulai 5 September lalu.

Siasatan itu dibuat selepas Malaysiakini enggan menarik balik dua klip video isu demonstrasi mengarakkan kepala lembu di Shah Alam hujung bulan lalu dan juga sidang media menteri dalam negeri, selepas bertemu penganjur perhimpunan tersebut, 2 September lepas.

Suruhanjaya itu dipercayai akan mengambil keterangan terakhir Ketua Pegawai Eksekutifnya Premesh Chandran (foto kiri) , sekali lagi, dalam masa terdekat selepas menyiasat sekumpulan besar editor, wartawan, juruvideo dan kakitangan teknikal yang menerbitkan dua video berkenaan.

ADS