Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hasrat Shahruddin tanding bebas tidak tercapai...
Diterbitkan:  Oct 3, 2009 11:46 AM
Dikemaskini: 12:41 PM

Hasrat Shahruddin Abdul Hamid untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, hari ini tidak kesampaian.

Beliau memasuki pusat penamaan calon di pejabat perbandaran Port Dickson untuk menyerahkan pencalonannya.

calon bebas Shahruddin Bagaimanapun, tidak lama kemudian, beliau keluar dari pusat penamaan calon selepas mendapati pencadangnya bukan dari Bagan Pinang.

Semasa meninggalkan dewan itu, Shahruddin memberitahu pemberita yang beliau sedang mencari seorang pencadang dari kawasan DUN itu untuk menyokong pencalonannya.

Shahruddin tidak muncul lagi selepas itu.

Selepas tempoh pencalonan ditutup dan tempoh bantahan tamat, pegawai pengurus pilihan raya kecil itu, Abdul Wahab Shamsuddin mengumumkan bahawa hanya dua calon menyerahkan borang pencalonan mereka.

Mereka ialah calon BN, Tan Sri Isa Samad dan calon PAS, Zulkefly Mohd Omar.

Hari pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ditetapkan pada 11 Oktober ini.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong berikutan kematian penyadangnya Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Azman berjaya menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Penjelasan Shahruddin

Sementara itu, Bernama melaporkan, Shahruddin menyifatkan kegagalannya itu sebagai "silap teknikal".

Shahruddin yang mesra dengan panggilan "Capt" berkataSPR menolak kertas pencalonannya kerana pencadang beliau, Ros Hamdan, bukannya pengundi DUN itu.

"Pencadang yang juga isteri saya adalah pengundi Lukut menyebabkan SPR meminta saya untuk mencari pencadang gantian dalam tempoh setengah jam," katanya ketika dihubungi Bernama.

Shahruddin yang pernah bekerja dalam industri perkapalan, tiba di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson pukul 9.10 pagi, sebelum beredar dari dewan itu kira-kira 20 minit kemudian.

Bekas ahli PKR itu berkata beliau berjaya mencari pencadang gantian tetapi gagal mencari pejabat pesuruhjaya sumpah untuk mengesahkan borang itu.

"Semua pejabat pesuruhjaya sumpah di sini tutup. Saya minta maaf kepada penyokong saya," katanya yang baru semalam mengisytiharkan keluar PKR selepas berkeras untuk bertanding.

ADS