Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dan setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin memohon kebenaran Mahkamah Tinggi Seremban untuk memulakan prosiding komital bagi mengheret Menteri Besar Ismail Lasim, 10 bekas exco dan enam individu lain atas tuduhan menghina mahkamah.

Selain Ismail dan 10 bekas exco, mereka yang dinamakan termasuk tiga Undang yang dipertikaikan iaitu Mubarak Thahak, Maarof Mat Rashad dan Abd Rahim Yasin, serta Undang Johol yang sedang berkhidmat, Muhammed Abdullah.

Dua lagi, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Badarudin Abdul Khalid.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 15 Oktober lalu.

Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi hari ini menasihatkan 18 Adun gabungan itu di Negeri Sembilan supaya tidak lagi mencampuri urusan DKU dan institusi diraja, tetapi sebaliknya menumpukan perhatian mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

Bercakap kepada wartawan selepas merasmikan Kongres Keselamatan Jalan Raya 2026 di Kuala Lumpur, timbalan perdana menteri itu berkata, wakil rakyat terpilih harus menunaikan mandat dengan menangani masalah rakyat.

"Pendirian kita ialah kita mesti pisahkan isu undang-undang dan institusi diraja daripada hal-hal berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.

"Sebab itulah nasihat saya kepada Adun kita supaya tidak lagi campur tangan dalam urusan DKU dan institusi diraja," kata.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-273 di Istana Negara


Negeri Sembilan menyaksikan pergolakan taktha sejak April, apabila Undang Yang Empat termasuk tiga yang dipertikaikan serta Tunku Besar Tampin mengumumkan penurunan taktha Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Minggu lalu, Majlis Raja-Raja dalam mesyuaratnya yang ke-273 memberi amaran supaya pihak luar tidak campur tangan atau mempolitikkan krisis itu, dan menegaskan “dalam apa jua keadaan” ini tidak boleh dijadikan alat politik, cara meraih sokongan, peluang memperluas pengaruh atau platform untuk perebutan kuasa.

Terdahulu memetik laporan media, kenyataan DKU dan Raja Norazli, menyebut mahkamah pada 5 Jun memberikan injunksi ad interim dalam saman pemula itu.

Injunksi tersebut menghalang enam plaintif berkenaan iaitu tiga Undang yang dipertikaikan, Undang Johol, Tunku Besar Tampinndan Badarudin daripada, antara lain, membuat atau melaksanakan keputusan berhubung hal ehwal DKU, serta mengambil sebarang langkah yang mengubah atau mengganggu status quo urusan DKU seperti pada 21 Mei.

Injunksi itu diperoleh susulan proklamasi 19 April, apabila Undang Yang Empat itu mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai ketua negeri dengan merujuk Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

Undang Yang Empat

Mereka kemudian memproklamasikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar ke-12.

DKU dan Raja Norazli berkata injunksi itu masih berkuat kuasa dan enam plaintif itu didakwa melanggarnya dengan terus memberi kesan kepada proklamasi 19 April serta perubahan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Selain Ismail dan 10 bekas exco, turut dinamakan sebagai penghina yang dicadangkan, adalah Mohd Faizal Ramli, Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Mohd Asna Amin, Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Razali Abu Samah.

Dalam permohonan itu, pemohon menyatakan Ismail dilantik sebagai menteri besar oleh Tuanku Muhriz pada 2 Ogos. Pada 3 Ogos, beliau hadir ke Istana Laguna Biru di Port Dickson dan menandatangani surat cara proklamasi, yang didakwa melengkapkan proklamasi 19 April.

"Atas tandatangan itulah, dan bukan mana-mana tindakan lain, penghina yang dicadangkan sejak itu menegaskan bahawa proklamasi tersebut menjadi lengkap," dakwa pemohon.

Permohonan itu bersandarkan siri kenyataan awam dan sidang media oleh atau melibatkan pihak berkenaan antara 5 September dan 11 Oktober, iaitu kenyataan pada 5 September, sidang media pada 8 dan 25 September, serta kenyataan bersama pada 17 September, 22 September, 2 Oktober dan 5 Oktober. Dalam kenyataan itu, mereka didakwa menyatakan proklamasi tersebut sah dan berkesan.

"Permohonan ini selanjutnya mendakwa bahawa menteri besar dan 10 bekas exco, yang mengetahui perintah itu, mengambil langkah melaksanakan proklamasi yang didakwa itu dan dengan berbuat demikian bertindak menggagalkan tujuan perintah (ad interim) itu dibuat," kata pemohon.


Mahkamah juga menetapkan pengurusan kes pada 17 November.