Mahasiswa UM pertahan kenyataan isu derma Najib perkara ‘paling bodoh’
Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit, yang mencetuskan perbahasan nasional menerusi satu soalannya pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur, enggan berundur dan menegaskan dia tidak akan memohon maaf.
Dalam satu kenyataan hari ini, dia mempertahankan pendiriannya bahawa menderma wang hasil titik peluh kepada golongan elit adalah perbuatan yang 'paling bodoh dan paling tidak bermoral'.
"Saya berpegang dengan soalan saya. Saya tidak akan memohon maaf. Kerana menderma wang hasil titik peluh kepada golongan elit, itu adalah perkara yang paling bodoh dan paling tidak bermoral,” katanya.
/file/attachments/orphans/UmmiUmairahBakhit12_333164.png)
Ummi Umairah berkata maklum balas yang diterimanya sejak soalan itu dikemukakan adalah sangat luar biasa dan mencetuskan perbualan nasional.
Namun, dia menyatakan kekecewaan terhadap reaksi sebahagian masyarakat, termasuk buli siber, obsesi politik dan mentaliti feudal.
"Perhatikan apa yang disorot, ‘paling bodoh’ dan ‘Najib Razak’, sementara ‘feudalisme’, ‘rasuah’, ‘fakta’ dan ‘data’ diabaikan.
"Itu menunjukkan sesuatu bahawa sebahagian masyarakat belum sedar akan kritikan ini. Mereka hanya tercetus emosi dengan perkataan yang didakwa tidak beradapan.
"Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh bukanlah satu kesalahan undang-undang. Ia perkataan yang kuat untuk perbuatan yang di luar jangkaan akal. Menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh tidak sama dengan menyifatkan seseorang itu bodoh," katanya.
Dalam forum terbuka bersama pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi baru-baru ini, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai menderma bagi membantu bekas perdana menteri Najib Razak membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta.
Khairy memuji soalan itu dan menjawab bahawa yang salah tetap salah, sambil memberi amaran bahawa pemimpin Islam yang mengkhianati amanah akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan.
/file/attachments/orphans/kpt-04_351991.jpg)
Dia turut menolak tanggapan bahawa pendiriannya selektif.
"Saya tidak pernah memilih-milih. Saya hadir di demonstrasi membantah Azam Baki. Saya bersuara menentang ketidaksamaan peluang di universiti saya. Saya lantang sejak hari pertama," katanya, merujuk kepada bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu.
Ummi Umairah turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap pemikiran kritis dalam masyarakat.
"Orang membaca, tetapi tidak berfikir, tidak menyelidik dan tidak memahami. Konteks diputarbelitkan.
"Saya berharap lebih ramai menemui keberanian untuk bersuara mengenai rasuah dan integriti, tanpa rasa takut," katanya.
Klip video sesi itu kemudian tular dan mengundang kecaman di media sosial, termasuk komen berbaur ugutan terhadap mahasiswa berkenaan.
Sidang kemuncak tiga hari yang dikenali sebagai iFuture 2026 itu berlangsung pada 11 hingga 13 Okt di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Ia dianjurkan Jabatan Pendidikan Tinggi dan menghimpunkan 1,231 pemimpin pelajar.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/UmmiUmairahBakhit1_164438.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.