Lewat tempatkan guru, NUTP minta penjelasan k'jaan

Abdul Rahim Sabri        

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung laporan akan berlaku kelewatan penempatan guru-guru lepasan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengikuti program pendidikan.

Laporan mengenai kelewatan tersebut disiarkan dalam blog upsikini.blogspot.com yang memetik Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa sebagai menyatakan demikian.

Beliau dipetik berkata demikian dalam ucapan perasmian simposium halatuju pendidikan fizik di Malaysia, anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UPSI beberapa hari yang lalu.

Prof Dr Zakaria dipetik berkata, punca utamanya adalah disebabkan oleh kelembapan ekonomi negara dan masalah kewangan yang dihadapi dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau dilaporkan berkata kenyataan itu harus diterima semua pihak, terutama pihak pelajar kerana ia "bukan sahaja melibatkan UPSI, malah seluruh institusi yang menawarkan program pendidikan".

Ketika diminta reaksinya, Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata persatuannya berpendirian bahawa pendidikan bukanlah merupakan satu kos tetapi adalah satu pelaburan demi masa depan negara.

"Jangan nafikan hak-hak anak rakyat Malaysia untuk belajar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Kita tidak bersetuju bahawa kerana masalah kewangan, guru-guru dan pendidik bakal menerima kesan dan nasib seperti ini," kata Hashim.

Menurutnya, kekurangan kewangan bukan alasan untuk mengetepikan hak rakyat untuk mendapatkan pendidikan.

"Kita kena cari jalan untuk menyelesaikan masalah. Kerajaan kena fikir jalan yang terbaik untuk mencari duit," katanya.

Sehubungan itu, kata Hashim, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan untuk mengatasi isu yang berbangkit itu.

Menurut Hashim, terdapat kira-kira 380,000 guru di Malaysia dan menegaskan bahawa kekurangan guru adalah "masalah yang berterusan", termasuk guru yang bersara atau sakit.

"Ia mesti digantikan dengan guru-guru baru," katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In