Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan pro-Mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sudah serik untuk memboikot lagi pilihan raya kampus setelah hilang "hilang suara" apabila berbuat demikian pada 2005.

Pengerusi kumpulan tersebut Mohd Naserul Mohd berkata, akibat tindakan mereka tidak menghantar calon pada pemilihan kampus empat tahun lalu, pemimpin-pemimpin pro-Aspirasi mendapat kemenangan percuma.

"Kita lihat waktu itu, mereka (universiti) boleh buat apa sahaja, membawa masuk artis luar, buat konsert dan pelbagai program hiburan," kata penuntut tahun akhir di Fakulti Pengajian Ilmu Wahyu itu.

Naserul diminta menjelaskan tindakan kumpulannya yang tidak bergabung bersama persatuan mahasiswa di universiti utama di Lembah Klang – Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malayasia (UPM) – bagi menentang pelaksanaan e-undi di kampus masing-masing.

Selain UM dan UKM, Universiti Utara Malaysia (UUM) juga memperkenalkan sistem pengundian secara elektronik bagi sesi pemilihan wakil-wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kali ini.

Tiada pemulauan berjalan di UUM walaupun wujud bantahan awal. Dua pemimpin pro-Mahasiswa berjaya menang dalam pilihan raya kampus itu, Isnin lalu.

UPM memperkenalkannya pada 2003 dan kumpulan pro-Mahasiswa di kampus itu memulaukannya dua tahun berturut-turut, 2005 dan 2006.

Kini kumpulan-kumpulan pro-Mahasiswa, yang bertentangan dengan pro-Aspirasi, membentuk Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) untuk mempergiatkan lagi bantahan mereka.

Ia menggabungkan 18 badan mahasiswa, antaranya Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) dan Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI).

Dalam sidang media bersama pada 9 Oktober lalu, ia turut berura-ura memboikot pilihan raya kampus masing-masing sekiranya sistem pengundian berkomputer tetap dijalankan.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Naserul berkata, walaupun tidak akan memulaukan pilihan raya kampus UIA, pihaknya tetap menyokong tindakan BANTAH.

"Kami sendiri, walaupun menang besar sebelum ini, tetapi kecurigaan wujudnya manipulasi (undi) itu masih ada," katanya, yang mendakwa sistem komputer mudah disunting dan diubah.

Aktivis We Unite for Islam (Wufi) itu – kelompok yang dianggap beraliran pro-Mahasiswa di UIA – juga menyifatkan pembatalan sistem pengundian berkomputer di universiti lain seperti UM lebih mendesak ekoran suasana politik kampusnya yang lebih panas.

"(UIA) keadaannya berbeza, tidak hebat sangat macam di UM yang ada gaduh, (insiden) kepala babi diletakkan dalam suraulah. Dari segi pentadbiran pula, di sini campur tangannya tidak berapa sangat," kata Mohd Neserul.

Malaysiakini difahamkan, tiada bantahan di universiti utama di luar Lembah Klang – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) – kerana tiada ura-ura universiti berkenaan akan memperkenalkan sistem tersebut.

ADS