Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: PAS hadapi masalah serius kepimpinan
Diterbitkan:  Oct 24, 2009 2:57 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat agar PAS mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) untuk membersihkannya daripada kumpulan prokerajaan perpaduan menunjukkan bahawa parti itu sedang berhadapan dengan masalah kepimpinan yang serius, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun beliau mengakui cadangan Nik Aziz itu sebagai satu "masalah dalaman" PAS, tetapi berkata ia tetap menunjukkan pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam parti pembangkang.

"Ia adalah serius (masalah kepimpinan dalam PAS). Pertembungan pendapat yang agak ketara di dalam PAS. Nik Aziz vs (Datuk Abdul) Hadi Awang vs (Datuk) Nasharuddin Mohd Isa vs Datuk Husam Musa," katanya kepada pemberita hari ini.

Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran dan timbalan presiden Umno berkata demikian selepas merasmikan karnival Edufest@Pagoh di Dewan Jubli Intan, di Muar, lapor Bernama.

Beliau mengulas tulisan menteri besar Kelantan itu dalam blognya http://www.blogtokguru.com mencadangkan supaya EGM itu

diadakan bagi menukar ‘dua tiga kerat' pemimpin PAS yang bermasalah.

Nik Aziz menamakan tiga pemimpin bermasalah yang perlu 'dibersihkan' iaitu Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Mursyidul Am PAS itu berkata beliau sedih dengan tindakan pemimpin terbabit kerana tidak menghargai keputusan Muktamar Agung PAS di Ipoh, Perak tahun lalu yang menolak kerjasama dengan Umno.

'Zahirnya PAS bersatu'

Muhyiddin berkata secara zahirnya PAS nampak bersatu tetapi sebenarnya ia tidak, memandangkan terdapat kumpulan di dalamnya yang bersetuju dan ada yang tidak dengan cadangan kerajaan perpaduan di antara parti itu dengan Umno.

"Dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang baru-baru ini, masyarakat tahu keadaan sebenar bahawa mereka (PAS) tidak sepakat kerana di dalam parti terdapat banyak masalah," katanya.

Beliau berkata Umno sebagaimana diperkatakan oleh Presidennya Datuk Seri Najib Tun ketika berucap pada perhimpunan agung parti itu baru-baru ini, memandang serius tentang isu perpaduan ummah di kalangan umat Islam negara ini.

Bagaimanapun, katanya banyak pihak di dalam PAS memandang sepi usaha Umno untuk mengukuhkan perpaduan umat Islam menerusi cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di antara kedua-dua parti itu.

Mengenai kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri semalam "kurang terperinci," Muhyiddin menafikannya.

Sebaliknya, kata Timbalan Perdana Menteri Bajet 2010 itu amat terperinci membabitkan semua golongan dan kumpulan di dalam negara ini.

"Semua golongan dan kumpulan sama ada dalam dan luar bandar menerima faedah daripada Bajet 2010 semalam, tidak ada golongan yang terpinggir. Semuanya disentuh oleh Perdana Menteri," kata Muhyiddin.

'Doa dimakbulkan'

Manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata cadangan Nik Aziz Nik Mat agar parti itu mengadakan EGM bagi membersihkan kumpulan prokerajaan perpaduan mungkin ada hikmahnya.

Beliau, katanya, cadangan itu menunjukkan wujudnya masalah dalam PAS.

"Saya tidak berhajat untuk campur tangan dalam parti PAS tetapi saya fikir doa mereka (PAS) telah dimakbulkan kerana sebelum ini mereka yang mendoakan agar Umno BN berpecah.

"Saya percaya doa yang tidak baik itu kembali kepada mereka," katanya selepas merasmikan Karnival Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan (Kakep) di ibunegara hari ini.

"Sebelum ini Nik Abdul Aziz mengalu-alukan EGM MCA berikutan masalah dalaman parti itu. Jadi kali ini apa yang beliau sebut itu terkena pada batang hidung sendiri," katanya.

ADS