K’jaan dedah rahsia tahanan rumah Najib demi hadapi cabaran mahkamah - Anwar
Dokumen perintah tahanan rumah Najib Razak mungkin sudah dinyahklasifikasikan bagi tujuan prosiding mahkamah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bercakap di Shenzhen, China, Anwar bagaimanapun tidak mengesahkan status dokumen itu dan berkata kerajaan akan memberikan perkembangan terkini dalam masa terdekat.
“Dokumen perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Bagaimanapun, sebagai prinsip umum, sekiranya perintah itu dicabar dan dibawa ke mahkamah, dokumen itu akan dinyahklasifikasikan,” katanya seperti yang dipetik oleh Berita Harian.
Malaysiakini semalam melaporkan bahawa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 Sept telah dinyahklasifikasikan bagi tujuan prosiding mahkamah susulan cabaran Majlis Peguam terhadap perintah tahanan rumah Najib.
Minit itu dipercayai belum difailkan di mahkamah setakat pagi semalam.
Minit yang diperoleh Malaysiakini menunjukkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan Najib menjalani tahanan rumah meskipun dibantah Peguam Negara Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Dusuki memberitahu lembaga itu bahawa tiada asas undang-undang untuk meletakkan Najib di bawah tahanan rumah. Yeoh menyatakan dia sependapat dengan Dusuki.
MP BN tuntut status minit dijelaskan
Terdahulu hari ini, sekumpulan ahli Parlimen BN menggesa kerajaan menjelaskan status minit berkenaan selepas bekas ahli Parlimen Damansara Tony Pua memuat naik apa yang disifatkannya sebagai petikan minit itu di Facebook semalam.
Bercakap bagi pihak kumpulan itu pada sidang media di Parlimen, Ahli Parlimen Jempol Shamsulkahar Deli menggesa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara mengesahkan ketulenan dokumen berkenaan dan menjelaskan dalam tempoh 24 jam sama ada dokumen itu telah dinyahklasifikasikan.
Dia turut mempersoalkan kuasa yang digunakan di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menyahklasifikasikan minit itu.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes penyelewengan dana SRC International di kediamannya di Kuala Lumpur pada 10 Nov.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah bagi melaksanakan pengampunan bersyarat yang diperkenankan pada 18 Sept selepas Najib membayar denda RM50 juta.
Tempoh tahanan rumah Najib dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/ceosummit1ddssde_799731.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.