Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pegawai khas kepada exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu disiasat polis berhubung dakwaan yang mengaitkan pejabat exco tersebut dengan aktiviti kongsi gelap seperti ditulis seorang ahli parlimen PKR.

Daniel Chong dipanggil merekodkan keterangan di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan di pejabatnya di Shah Alam sejak 10.45 pagi, kata seorang wakil rakyat DAP.

"Sekarang beliau masih di sana. Saya tidak pasti sampai bila," kata ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 17 Ogos lalu, polis Bukit Aman dilaporkan mengambil keterangan kakitangan pejabat Ronnie dan seorang lagi ecxo Selangor, Ean Yong Hian Wah, berhubung dakwaan ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

Wee menyebut secara umum pembabitan seorang exco negeri dalam kegiatan kongsi gelap walaupun tidak menamakan sesiapa dalam artikel blognya, Julai lalu.

Pada 14 Ogos, Wee turut dipanggil ke ibu pejabat polis kontinjen Selangor untuk memberikan keterangan berhubung dakwaannya itu.

Daniel dibebaskan kira-kira jam 2.15 petang tadi setelah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Dihubungi Malaysiakini selepas itu, Daniel berkata, keterangan beliau dikendalikan seorang pegawai polis daripada ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman.

"Masa merekodkan keterangan agak lambat sebab saya ambil masa untuk mengingat kerana keadaan saya kurang sihat.

"Saya ambil sedikit masa untuk berehat," katanya, yang pertama kali dipanggil membantu siasatan.

Daniel berkata, beliau ditanya berhubung dakwaan yang dibuat oleh Wee dan bidang kerjanya sebagai pegawai khas kepada Ronnie.

"Saya bagi kerjasama penuh sebab saya tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Pihak polis memerlukan bantuan untuk melengkap siasatan mereka."

ADS