Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap akan mengetuai Pakatan Rakyat walaupun ada cadangan supaya Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai penasihat gabungan pembangkang itu, kata seorang ahli parlimen PKR.

"Jelaslah Anwar (mempengerusikan Pakatan). Perkara ini sudah dipersetujui dari awal lagi, (sejak) daripada (penubuhan) Barisan Alternatif kepada Pakatan Rakyat," kata wakil rakyat Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin.

"Anwar dipersetujui untuk mengetuai (Pakatan). Apabila insya Allah kita menang dalam pilihan raya umum yang akan datang, kita akan angkat Anwar sebagai perdana menteri Malaysia."

lina joy court hearing palace of justice 300507 zulkifli nordin Zulkifili mengulas tentang isu peneraju utama Pakatan apabila ia didaftarkan secara rasmi sebagai parti yang menggabungkan PKR, DAP dan PAS dalam rancangan bual bicara isu semasa Hujah di sebuah televisyen malam tadi.

Datuk Zaid Ibrahim, seorang anggota biro politik PKR yang ditugaskan untuk mengukuhkan gabungan itu, baru-baru ini mencadangkan Nik Aziz dilantik sebagai "pemimpin rohani" Pakatan.

Diwawancara ahli sains politik Prof Dr Mohammad Agus Yusoff yang mengendalikan program popular itu, Zulkifili bagaimanapun berkata perkara itu akan dibincangkan dalam sebuah konvensyen tiga parti itu pada pertengahan bulan depan.

"Yang Datuk Zaid maksudkan, kita letakkan Tok Guru Nik Aiz sebagai faktor penyatu kerana kewarakannya," katanya.

"Bagaimanapun, kita tunggu perbincangan Disember ini sama ini kita setuju struktur seperti itu atau kita hendak kekalkan seperti sedia ada ini."

Ditanya perbezaan peranan antara seorang "pemimpin rohani" dan pengerusi Pakatan, Zulkifili berkata:

"Pemimpim rohani seperti penasihat, (beliau) boleh beri teguran dan berada di atas parti."

Sementara itu, mengulas perbezaan pendapat antara beliau dengan Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah, Zulkifli berkata perbezaan itu berlaku dalam "kerangka besar" perlembagaan negara.

"Selagi berlegar dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, kita bebas.

"Saya bebas cakap tentang Islam, (ahli parlimen Kapar) S Manikavasagam bebas bercakap soal Hindu, (ahli parlimen Selayang dan bendahari PKR) William Leong berhak bercakap apa sahaja (selagi) dalam kerangka Perlembagan Persekutuan," katanya.

Pada 10 November lalu, Zulkifli mencabar Sivarasa meletakkan jawatan itu setelah menuduhnya menjadi sasaran kemarahan Anwar berhubung mereka yang gagal mengikuti dasar-dasar parti itu.

Ketika ditanya sama ada beliau berhasrat menyertai PAS, Zulkifli yang dilihat mendepani isu Melayu-Islam hanya berkata:

"PAS dengan ideologinya (tersendiri).

"Kita hendak bawa wadah baru rakyat, arus politik baru yang boleh ada perbezaan pendapat yang sihat."

ADS