Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) tidak menjangkakan akan berlaku kejadian baru gempa bumi lemah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, susulan beberapa kejadian sejak Ahad.

Timbalan Pengarah Bahagian Aplikasi JMM Alui Bahari berkata, gempa tersebut berlaku dengan kadar yang semakin lemah sejak mula dikesan tengah hari kelmarin.

"Apabila ia berlaku di lokasi yang hampir sama, tenaga yang dilepaskan pada gegaran seterusnya biasanya akan menjadi semakin lemah, berbanding tenaga yang segar pada gegaran awal," katanya kepada Malaysiakini.

Siri gegaran tersebut merekodkan ukuran sekitar 3.0 pada skala Richter tidak mencatat sebarang kerosakan harta benda, kata Alui ketika dihubungi petang ini.

Empat kejadian gempa yang berpusat di 22km timur Seremban mula dikesan jam 2.30 petang Ahad, manakala tiga gegaran berikutnya berlaku dalam tempoh 24 jam seterusnya.

Menurut kenyataan JMM semalam, kejadian 12.15 awal pagi semalam berukuran 3.3 pada skala Richter, sementara terakhir pada 2.30 petang pula pada bacaan 3.0 skala Richter.

Alui menjelaskan, kejadian gempa tersebut tidak perlu dikhuatiri kerana ia berlaku di kawasan “garisan gempa yang tidak aktif”.

Tambahnya, JMM beranggapan kejadian gempa tersebut mungkin berkaitan dengan gempa bumi di Indonesia sebelum ini.

"Hipotesis yang kami buat, ia mungkin disebabkan oleh gempa di situ (Indonesia) kerana garis-garis sesaran masih tidak stabil," katanya.

Gempa bumi kuat pada magnitud 7.6 skala Richter berlaku di Padang, Sumatera pada hujung September lalu yang menyebabkan 1,115 terkorban dan 1,214 lagi cedera.

Alui bagaimanapun menjelaskan, JMM tidak dapat memastikan sama ada gegaran tersebut akibat kesan langsung atau tidak langsung kejadian di republik tersebut.

"Kesan secara langsung atau tidak, itu kita belum dapat pastikan. Tetapi gegaran yang kuat di rantau Indonesia pasti akan beri kesan kepada garis-garis sesaran di negara kita," katanya.

Gempa bumi lemah ini pertama kali muncul di Kuala Pilah.

Sebelum kejadian ini, sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garisan gempa bumi di Bentong, Pahang.

Tiga lagi gempa bumi itu di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).

JMM dilaporkan berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas, sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong.

Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.

Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.

ADS