Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

NGO hak asasi manusia, Amnesty International Malaysia (AI Malaysia) menyeru Pemuda PAS dan PKR supaya kembali meletakkan hak asasi sebagai isu utama dan tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan aman.

NONE Ini ekoran tindakan kedua-dua pergerakan tersebut membuat laporan polis berhubung demonstrasi di Kota Bharu dan Pulau Pinang semalam dan Isnin lalu.

Di Kota Bharu semalam, beratus-ratus penduduk Kelantan mengadakan bantahan terhadap Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung hasratnya untuk berdoa memburukkan perdana menteri dan Umno.

Manakala Isnin lalu, kumpulan Pemuda BN Pulau Pinang berhimpun untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng yang didakwa lemah dan tidak cekap menyelesaikan masalah rakyat dan gagal menunaikan janji pilihan raya umum.

Timbalan ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir dilaporkan membuat laporan polis semalam, supaya menyiasat dan menahan individu bertanggungjawab menganjurkan demonstrasi di luar bangunan DUN Pulau Pinang itu.

Dalam laporannya, Ahmad Azrizal mendakwa peserta demonstrasi tersebut mengeluarkan kenyataan perkauman serta bertindak "di luar kawalan dan tidak beretika" dengan memijak serta membakar poster ketua menteri negeri tersebut.

NONE Dalam perkembangan di Kelantan pula, Dewan Pemuda PAS negeri itu membuat laporan polis bagi menggesa supaya diambil "tindakan pencegahan bagi mengelak" satu perhimpunan semalam.

Naib ketuanya, Hisam Fauzi dilaporkan Harakahdaily sebagai berkata, perhimpunan anjuran Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan tersebut "bertujuan politik bagi menganggu-gugat kestabilan politik negeri ini dan pentadbiran menteri besar."

Mengulas perkembangan itu, penyelaras AI Malaysia, K Shan berkata, ia menunjukkan parti-parti politik tersebut tidak jujur dalam menyatakan sokongan dalam isu hak asasi kerana bertindak mengikut kepentingan politik masing-masing.

"Kita perhatikan, demonstrasi yang diadakan di Kota Bharu dan Pulau Pinang itu tidak ada unsur kekerasan dan terkawal," kata Shan yang tidak melihat keperluan parti-parti itu membuat laporan polis.

Katanya lagi, PAS dan PKR juga tidak sepatutnya membuat laporan polis, sedangkan kedua-duanya telah menyatakan pendirian menyokong kebebasan hak asasi rakyat berdemonstrasi.

"Mereka bersama-sama kita sebelum ini dalam Gabungan Mansuhkan Isa (GMI) mengutuk tindakan kekerasan dan penangkapan polis ke atas orang yang terlibat dalam demonstrasi," kata Shan lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Ini menunjukkan parti-parti politik ini tidak serius dan tidak konsisten dengan apa yang mereka uar-uarkan. Tindakan mereka ini tidak banyak berbeza dengan parti-parti BN yang lebih cenderung untuk menyekat kebebasan untuk berhimpun," katanya lagi.

"Sepatutnya mereka pertahankan hak ini, walaupun kali ini mereka sendiri yang terkena kerana menjadi pemerintah," tegasnya.

ADS