Selangor haramkan buku 'buka hijab' bagi umat Islam
Pihak berkuasa agama Selangor memutuskan bahawa buku tulisan aktivis Maryam Lee berhubung pilihan memakai hijab atau tudung yang berjudul, "Unveiling Choice", menyimpang daripada ajaran Islam.
Keputusan itu dikeluarkan sebagai fatwa pada 29 Mei, namun hanya dikongsikan di media sosial Jabatan Mufti Negeri Selangor semalam, tujuh tahun selepas siasatan terhadap buku berkenaan bermula.
Jabatan Mufti Negeri Selangor mewartakan keputusan tersebut di bawah Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 .
/file/attachments/orphans/34534354_120197.jpg)
Menurut warta tiga halaman itu, kandungan "Unveiling Choice" serta terjemahannya bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi satu-satunya mazhab akidah yang diiktiraf di Malaysia.
Menurut Jawatankuasa Fatwa negeri, buku itu mendakwa hukum wajib memakai hijab bagi menutup aurat wanita—khususnya bahagian rambut—adalah berdasarkan tafsiran patriarki atau berat sebelah kepada pihak lelaki terhadap dalil syarak.
Selain itu, "Unveiling Choice" turut didakwa menyatakan bahawa wanita Islam bebas memilih sama ada mahu berthijab berdasarkan kehendak sendiri—satu tafsiran yang tidak berpandukan hukum yang telah sabit secara qat'ie.
Buku tersebut juga didakwa menyifatkan:
(1) Hukum pemakaian hijab hanyalah tuntutan budaya semata-mata dan bukannya kewajipan agama Islam.
(2) Kewajipan memakai hijab adalah bersandarkan rasionalisme atau akal semata-mata, dan bukan berdasarkan dalil syarak.
Sehubungan itu, jawatankuasa fatwa melarang umat Islam daripada mengamalkan atau berpegang kepada buku tersebut, menyebarkannya, atau menghadiri sebarang perhimpunan yang boleh dikaitkan dengan fahaman yang dipromosikannya.
Memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyalin, mencetak, menjual, mengedar, atau menyiarkan sebarang bahan yang menonjolkan fahaman buku itu dalam apa jua bentuk juga merupakan satu kesalahan bagi umat Islam.
“Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan, adalah dilarang beramal atau berpegang dengan buku karangan Maryam Lee bertajuk ‘Unveiling Choice’ dan buku terjemahannya atau apa-apa buku atau risalah yang mempunyai persamaan dengannya.
“Mana-mana orang Islam yang menyertai atau mengamalkan atau berpegang kepada fahaman buku karangan Maryam itu dan buku terjemahannya atau apa-apa buku atau risalah yang mempunyai persamaan dengannya hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT,” menurut warta itu.
Warta tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor, Anhar Opir.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan kandungan buku berkenaan buat masa ini.
Bagaimanapun, menurut laman web penerbitnya, Gerakbudaya, buku sulung Maryam itu mengisahkan perjalanan panjangnya dalam membuat keputusan menanggalkan hijab.
Menurut Gerakbudaya, buku itu bertujuan mencetuskan rasa empati dan belas kasihan terhadap wanita sepertinya yang melalui perjalanan hidup sehingga terpaksa membuat keputusan yang kadangkala bertentangan dengan norma budaya.
“Dia tidak percaya kepada tindakan menunggu sehingga masyarakat ‘bersedia’: malah, dia yakin semakin sukar sesuatu perbincangan itu, semakin besar perubahan (yang perlu berlaku),” menurut petikan promosi di laman web berkenaan.
Pada Oktober 2019, Maryam dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi membantu siasatan yang dipercayainya berkait dengan sesi perbincangan yang diadakan pada April tahun sama sempena pelancaran buku tersebut.
Perkembangan itu menyusul selepas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Mujahid Yusof, menyuarakan rasa “amat bimbang” terhadap penganjuran acara berkenaan dan menghubungi Jais mengenainya.

Maryam melancarkan buku itu dalam satu forum bertajuk “Wanita Melayu dan tindakan menanggalkan hijab” di kedai buku Gerakbudaya di Petaling Jaya.
Acara tersebut turut mengundang kecaman golongan konservatif di media sosial.
Dengan mendakwa kebebasan beragama bukan satu penghinaan terhadap Islam, Maryam meminta pembacanya menghantar testimoni kepada pihak berkuasa bagi menjelaskan bahawa buku itu tidak menghina Islam, selain menggesa siasatan terhadap individu yang berkongsi pengalaman peribadi wanita menanggalkan tudung dihentikan.
Siapa Maryam?
Maryam merupakan aktivis dalam pelbagai pertubuhan hak asasi manusia dan komuniti, selain bertugas dalam bidang komunikasi strategik serta dasar teknologi.
Selain isu tudung, dia juga terpalit dengan satu lagi kontroversi pada 2018 kerana memasuki Masjid Negara di Kuala Lumpur dengan hanya memakai skirt.
Dia turut dikenali kerana sering menulis dan bersuara menentang budaya kepolisan moral di Malaysia, yang kerap mencetuskan perdebatan hangat antara golongan konservatif dan aktivis hak asasi manusia.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada Gerakbudaya dan Maryam.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/432532234234_106449.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.