Badan Peguam Malaysia berhak mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung kebenaran untuk bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata terpulang kepada badan berkenaan sekiranya berpendapat mempunyai asas untuk mempersoalkan keputusan tersebut.

“… tapi saya selalu tekan bahawa apabila bercakap tentang isu di bawah Perkara 42 (Perlembagaan Persekutuan), ia adalah dipertimbangkan apa yang disebut sebagai the prerogative of mercy, yang kita tahu memang adalah antara kuasa-kuasa yang diberi secara penuh budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42, kuasa pengampunan.

“Jadi, itu terpulanglah kepada Badan Peguam tentang apa yang dia nak bawa... Kalau Badan Peguam merasakan mereka ada hak untuk mempersoal apa-apa isu, itu hak mereka,” katanya.

Dia berkata demikian selepas majlis penyerahan sijil Kursus Pensijilan Profesional Pengantaraan dan Sijil Lantikan Pengantara serta pelancaran buku Panduan Pusat Mediasi Madani, Jabatan Bantuan Guaman 2026 di Bangi, Selangor.

Hari ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) membantah permohonan Badan Peguam Malaysia untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan di rumah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, S Indra Nehru, hari ini, bahawa AGC menerima permohonan Badan Peguam menerusi e-mel dua hari lepas dan memerlukan masa untuk menelitinya sebelum memfailkan hujahan bertulis.

Sementara itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib memaklumkan mahkamah anak guamnya juga berhasrat memfailkan hujahan bertulis kerana sebarang keputusan mahkamah selepas kebenaran diberikan boleh menjejaskan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Peguam Zainur Zakaria yang mewakili Badan Peguam tidak membantah permohonan AGC dan peguam Najib untuk diberikan masa bagi memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Indra Nehru menetapkan 17 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan itu dan mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis masing-masing selewat-lewatnya 14 Dis ini, manakala hujahan balas perlu difailkan sebelum atau pada 28 Dis.

Kelmarin Badan Peguam memfailkan tindakan undang-undang baru bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan terhadap Najib.

Badan Peguam menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Penjara dan Najib sebagai responden.

- Bernama