Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penggantungan Ahmad Ismail ditarik balik
Diterbitkan:  Dec 9, 2009 5:00 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Umno Pulau Pinang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk menarik balik penggantungan Datuk Ahmad Ismail selama tiga tahun dari September kerana mengeluarkan kenyataan sensitif semasa berkempen.

Setiausaha Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata beliau menyambut baik keputusan penarikan balik penggantungan Ahmad kerana beliau (Ahmad) masih merupakan orang penting bagi Umno, lapor Bernama.

"Saya percaya Majlis Tertinggi parti telah menimbangkan perkara itu secara serius sebelum membuat keputusan itu dan Umno Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan kepulangan Ahmad," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini dilaporkan berkata Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu, memutuskan untuk menarik balik penggantungan Ahmad.

Tengku Adnan mengesahkan perkara itu ketika menjawab SMS yang dihantar Malaysiakini kepadanya mengenai keputusan tersebut.

ahmad ismail Ahmad, bekas Ketua Umno Bukit Bendera, semasa dihubungi berkata beliau bersyukur kerana perjuangan parti kembali ke landasan dan mengucapkan terima kasih kepada presiden dan timbalan presiden parti atas pertimbangan mereka.

Beliau digantung daripada parti selama tiga tahun dari September berikutan kritikan orang ramai selepas beliau menganggap bukan Melayu sebagai "pendatang" semasa berkempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lepas.

Pada 10 September lalu, MT memutuskan Ahmad digantung dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun, ekoran kontroversi yang dicetuskan oleh ketua Umno Bukit Bendera itu, yang didakwa membuat kenyataan yang berbaur perkauman terhadap masyarakat Cina.

Ahmad telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina apabila didakwa berkata bahawa kaum itu "menumpang" di negara dan meminta mereka supaya tidak menjadi seperti orang Yahudi di Amerika yang mahu menguasai ekonomi dan kuasa politik.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Ahmad membuat kenyataan menggesa Gerakan supaya keluar dari BN dan manakala seorang penyokongnya telah bertindak mengoyak gambar pemangku presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

ADS