KOLUM | Bagi orang yang terlibat secara langsung dengan pembangunan bola sepak akar umbi, sudah menjadi kebiasaan untuk aku melihat senario jurulatih menengking atau meluahkan amarah secara berlebihan kepada kanak-kanak dan remaja di tepi padang.

Jangankan orang lain, aku sendiri yang melatih murid ini pun ada masanya naik darah juga. Kita berikan arahan lain, tapi di atas padang lain yang dibuatnya. Memang menguji kesabaran sungguh.

Tapi hakikatnya, kejohanan akar umbi ini sememangnya medan eksperimen untuk anak-anak menguji kemampuan diri dan mengutip pengalaman, bukannya ‘mahkamah’ yang menjatuhkan hukuman ke atas emosi mereka hanya kerana satu hantaran bola yang tidak tepat.

Di situlah terletaknya garis pemisah di antara jurulatih cabuk yang gagal memahami bahawa kesilapan adalah ‘syarat sah’ dalam pembelajaran kognitif, dengan pengurusan elit yang mengamalkan pendekatan sains sukan berteraskan lingkungan psikologi yang kondusif.

Andai kata realiti toksik seperti itu terpaksa dihadapi oleh Andrea Kimi Antonelli, maka dunia pasti tidak akan menyaksikan kemunculan Juara Dunia Formula 1 (F1) termuda dalam sejarah pada tahun ini.

Realitinya, ketika Antonelli pada usia 18 tahun membuat kemunculan sulungnya dalam sesi latihan bebas pertama di Monza pada 30 Ogos 2024, dia terbabas lalu merempuh dinding penghalang dalam kelajuan yang tinggi.

Tiada langsung makian atau jeritan kedengaran di radio pasukan. Jurutera perlumbaan sekadar bertanya tentang keadaannya.

“You OK? Are you OK?”

Antonelli yang menahan sesak dada segera memohon maaf atas kesilapannya.

Pengurus pasukan Mercedes Petronas, Toto Wolff, terus memotong komunikasi radio dengan kata-kata yang penuh empati: “Kimi, all good. All good, Kimi.”

Terserlah secara semula jadi

Sikap toleransi itu bukannya berlaku sekali saja. Sepanjang musim debutnya pada 2025, Antonelli berulang kali melakukan kesilapan – daripada deretan kemalangan yang menghancurkan jentera hingga penalti memandu melepasi garisan litar (track limits).

Dalam dunia F1 yang dikawal ketat oleh had perbelanjaan, setiap kali jentera hancur berderai, Mercedes terpaksa menanggung kerugian bernilai berjuta-juta dolar.

Namun, pengurusan pasukan elit itu tidak pernah melepaskan amarah atau menghukum emosinya. Mereka tenang meleburkan jutaan dolar demi memberi ruang untuk anak muda mereka belajar daripada kesilapan.

Berbeza dengan realiti pembangunan akar umbi kita, kan?

Anak-anak kita menelan herdikan dan makian hanya kerana satu kesilapan yang tidak merugikan sesen pun wang jurulatih.

Wolff melontarkan satu falsafah sosiologi sukan yang menyedarkan banyak pihak: “A champion needs to be thrown in the cold water.”

Ungkapan itu bermaksud bakat elit tidak boleh sentiasa dipayungi dalam zon selesa. Mereka perlu dicampak terus ke kancah yang ‘membeku’ untuk memaksa naluri kelangsungan hidup mereka terserlah secara semula jadi.

Prinsip itulah yang menjadi paksi kepada kebangkitan anak muda dari Bologna itu merangkul takhta dunia di Litar Autódromo Hermanos Rodríguez, Mexico pada usia 20 tahun 68 hari.

Ia sekali gus meleburkan rekod yang sebelum itu dipegang oleh Sebastian Vettel (23 tahun 134 hari).

Jadi, apa yang kita boleh belajar daripada kejayaan permata baru sukan permotoran elit itu?

Pertama, ia adalah tentang sebuah kepimpinan yang berani menelan risiko dan melihat kesalahan sebagai evolusi kognitif yang wajib dilalui.

Naratif kejuaraan Antonelli bermula lapan tahun lalu. Pada usia 12 tahun, Ferrari menolak daripada untuk merekrutnya atas alasan dia terlalu muda. Mercedes sebaliknya melihat Antonelli sebagai potensi yang menuntut pelaburan jangka panjang.

Keberanian Mercedes itulah akhirnya teruji apabila Wolff mengambil keputusan mengisi kekosongan kerusi ditinggalkan Lewis Hamilton dengan Antonelli. Dia menggantikan juara dunia tujuh kali dengan seorang remaja yang langsung tiada rekod penampilan F1.

Keputusan luar kotak itu memang mencetuskan keraguan sehingga dua syarikat penaja utama menarik diri. Dalam dunia sukan bilionan ringgit, langkah itu disifatkan sebagai ‘membakar duit’.

Namun, itulah nilai kepimpinan sebenar Wolff. Dia sanggup menelan kerugian komersial berbanding tunduk kepada kehendak pasaran yang tamak dan pengecut.

Krisis kepercayaan pasaran itu terus memuncak di atas litar menerusi insiden di Monza pada 2024 dan deretan penalti sepanjang musim 2025.

Senjata ampuh masa kini

Cakap-cakap sinis meletus dan pengkritik mendesak agar Antonelli bertatih dulu di pasukan kecil, apatah lagi apabila kecenderungannya melepasi garisan litar membuatkan dia dilabel sebagai King of Track Limits.

Tetapi dari kanta neurosains kognitif, tabiat melanggar garisan litar itu bukanlah semata-mata sikap melulu.

Otak manusia belajar menerusi mekanisme kesilapan. Setiap kali pemanduannya tersasar, sistem saraf Antonelli merekod jurang antara jangkaan dan realiti untuk mengukuhkan laluan saraf serta refleks motor bagi koordinasi tahap tinggi.

Falsafah itu selari dengan prinsip ijtihad dan islah – bahawa usaha gigih (ijtihad) yang diwarnai kesilapan tetap mempunyai nilai tersendiri, manakala proses pembaikan (islah) jauh lebih mulia daripada tindakan menghukum.

Kedua, ia membuktikan betapa besarnya peranan ekosistem keluarga dan sekolah sebagai sistem sokongan jiwa – emosi.

Di sebalik jentera Mercedes, benteng pertahanan paling utuh buat anak muda itu berada di rumah dan bilik darjah.

Ibu Antonelli setia memandu untuk menghantarnya ke litar go-kart. Ayahnya, Marco Antonelli, membimbing hal teknikal tanpa tekanan emosi. Suasana itu menjadikan rumah Antonelli sebagai ruang bebas toksik.

Meskipun Antonelli dianggap ‘pemangsa liar’ di litar, dia kekal membumi bersama lingkungan sahabat di sekolah.

Formula 1 yang berlangsung di Sepang baru-baru ini.

Gurunya, Alessandra Regina, berkongsi kisah bagaimana remaja itu mengekalkan keperibadian merendah diri, tidak dijangkiti sindrom perasan bintang dan bijak mengimbangi komitmen pelajaran dengan kerjayanya sebagai pelumba profesional.

Kecemerlangan akademik Antonelli membuktikan satu perkara: kecerdasan intelektual (IQ) adalah senjata paling ampuh untuk sukan era masa kini.

Disiplinnya menelaah pelajaran secara langsung menajamkan kapasiti mindanya untuk memproses lambakan data telemetri, memahami algoritma rumit dan beradaptasi pantas dengan teknologi hibrid jentera F1 yang sarat dengan kejuruteraan moden.

Bakat genius tidak akan mekar dengan sihat jika ekosistem sekolah dan rumah tidak dibaja dengan nilai kebijaksanaan dan kemanusiaan.

Ketiga, ia adalah bukti bahawa kesabaran yang disulami kepercayaan akan membuahkan hasil yang merombak budaya toksik.

Hasil daripada ekosistem yang memberikan hak untuk gagal itu meledak sepenuhnya pada musim 2026.

Selepas permulaan musim memihak kepada rakan sepasukannya, George Russell, naratif berubah drastik apabila Antonelli menyapu bersih lima kemenangan berturut-turut dengan jentera yang sama.

Perlukan tempat berpijak yang subur

Segala kesilapan, kemalangan dan track limits pada 2025 rupa-rupanya merupakan fasa pengumpulan data. Apabila mindanya selesai memproses jutaan titik telemetri tersebut, transisi magis berlaku.

Dia memasuki fasa pemikiran paling tajam. Graf pembelajarannya mencanak.

Kemuncak kepada evolusi itu bukanlah sekadar tentang sebuah trofi kejuaraan, tetapi satu kemenangan moral yang merombak budaya toksik sukan berprestasi tinggi.

Anggapan lama bahawa seorang juara perlu menang dengan apa cara sekalipun – waima dengan rakus, mementingkan diri, merampas hak orang lain dan bersikap ego – kini terbukti sudah lapuk dan tidak lagi relevan.

Kimi Antonelli berdiri di puncak dunia membuktikan hakikat yang sering dilupakan: kita mampu menewaskan pesaing di litar dengan hanya menjadi insan cerdik, baik dan merendah diri.

Pencapaian epik itu secara tuntas mematikan kiasan lapuk masyarakat – label ‘generasi strawberi’ yang kononnya rapuh dan mudah rosak.

Antonelli membuktikan anak muda mampu menakluk tekanan paling ekstrem jika tanah tempat mereka berpijak disuburkan dengan empati dan pengurusan risiko yang rasional.

Ia memaksa kita merenung dan bercemin, kembali ke padang-padang sekolah dan bertanya satu soalan: Adakah anak muda kita yang sebenarnya rapuh, atau sebenarnya ego kita sebagai orang dewasa yang terlalu lemah untuk memberi ruang buat mereka belajar daripada kesilapan?


NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang kini lebih memberi fokus kepada bidang penulisan serta kejurulatihan kerana semakin berusia dan semakin terkekang kudratnya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.