Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kos operasi kapal selam RM290 juta setahun
Diterbitkan:  Dec 15, 2009 7:48 PM
Dikemaskini: 11:51 AM

Kos pengoperasian dua kapal selam termasuk senggaraan dianggarkan RM290 juta setahun, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata nilai kontrak perolehan kapal selam berkenaan ialah Euro 1.084 bilion (RM5.382 bilion) meliputi harga pembelian dua kapal selam baru, latihan untuk warga kapal selam, pakej bantuan lojistik bersepadu dan alat ganti serta penyediaan kemudahan pelatih kapal selam dan tim projek.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Charles Santiago (DAP-Klang) yang ingin tahu mengenai ancaman yang dihadapi oleh Malaysia yang memerlukan penggunaan kapal selam dan apakah tugas dan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, selain kos penyelenggaraannya setiap tahun.

Ahmad Zahid berkata penggunaan kapal selam bukanlah disebabkan ancaman yang dihadapi oleh negara tetapi lebih kepada keupayaan memberi cegah rintang kepada bakal musuh.

"Pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersandarkan kepada 'capability-based' yang harus dimiliki untuk melaksanakan misi dalam pelbagai dimensi pada masa hadapan," katanya.

Menurut beliau, keupayaan negara menyediakan satu angkatan perang yang moden dan berwibawa untuk memusnahkan angkatan musuh akan menggerunkan musuh malah mereka akan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang perkiraan yang kurang rasional untuk mengancam dan menyerang negara ini.

Beliau berkata kehadiran kapal selam yang canggih dalam inventori negara akan memberi impak yang besar terhadap pertahanan negara kerana keupayaan kapal selam yang boleh beroperasi di mana sahaja di bawah permukaan dengan senyap akan menyukarkan pihak musuh untuk mengesan kedudukan kapal selam tersebut.

"Kehadiran kapal selam juga dapat meningkatkan keupayaan peperangan bawah air TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) dan menjadikan ia sebuah angkatan yang lebih seimbang, kredibel dan berwibawa," katanya.

Sementara itu, berhubung dengan KPI TLDM, Ahmad Zahid berkata untuk menentukan keselamatan dan perairan negara sentiasa

terpelihara, kapal selam akan dioptimumkan untuk menyokong KPI tersebut. BERNAMA

ADS