Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Rayakan Krismas 'yang lebih hijau'
Diterbitkan:  Dec 24, 2009 11:51 PM
Dikemaskini: 7:13 PM

Datuk Seri Najib Razak berharap semua rakyat Malaysia, tidak kira apa jua kepercayaan agama, mempamerkan kemurahan hati dan perasaan belas kasihan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang paling memerlukannya.

Sempena sambutan Krismas esok, perdana menteri dalam blognya hari ini berkata, golongan yang paling memerlukan bantuan itu termasuk mereka yang tidak berdaya kepada yang susah sehinggalah kepada perkhidmatan kecemasan yang sentiasa sedia berkhidmat.

"Dengan semangat kemurahan hati ini, kita harus juga menunjukkan keprihatinan terhadap alam sekitar. Satu perayaan Krismas yang lebih hijau boleh diadakan.

"Misalnya, dengan mendermakan hadiah-hadiah yang tidak diperlukan, menggunakan kertas kitaran semula sebagai pembalut hadiah dan berjimat cermat dengan penggunaan lampu Krismas," katanya.

Najib berkata dalam keseronokan meraikan Krismas kali ini boleh membuatkan rakyat berbelanja lebih walaupun dalam waktu-waktu mereka kurang bebas berbelanja kini.

Katanya, musim perayaan ini merupakan waktu untuk menyemarakkan perasaan muhibah dan keriangan terutamanya dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik.

Perdana menteri juga berkata perayaan seperti ini memberikan satu peluang kepada orang ramai untuk berehat dan bermesra bersama keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

"Seperti Hari Raya sebelum ini, kenapa tidak gunakan perayaan ini untuk merapatkan hubungan tetamu daripada latar belakang yang berbeza di bawah satu bumbung?

"Dengan ingatan ini, saya mengucapkan kepada semua yang merayakan hari yang paling istimewa ini satu Krismas yang sangat menggembirakan, aman dan damai serta harmoni," katanya. BERNAMA

ADS