Kes liwat: Rakan Anwar gagal padamkan penghakiman

   

Dr Munawar Ahmad Anees, bekas penulis ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal dalam cubaannya supaya dipadamkan sebahagian daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat membabitkannya.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Raus Md Sharif, sebulat suara bersetuju menolak permohonan supaya diadakan semakan semula untuk membenarkan rayuannya bertarikh 17 Disember 2008 terhadap pensabitan dan hukuman penjara enam bulan berhubung kes liwat itu.

Munawar dan peguamnya Manjeet Singh Dhillon tidak hadir di mahkamah hari ini, manakala timbalan pendakwa raya Awang Armadajaya Awang Mahmud merupakan satu-satunya pihak yang hadir.

Ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat, hakim Raus berkata, mahkamah mendapati perenggan 20 hingga 26 dalam penghakiman sebelum ini bukanlah sesuatu yang direka.

"Adalah jelas bahawa apa yang dinyatakan oleh mahkamah ini dalam perenggan 20 hingga 26 ada kaitan dengan sesuatu yang dihujah oleh semua pihak.

"Oleh itu, tidak ada apa salahnya bagi mahkamah ini untuk memberikan pendapatnya berhubung persoalan yang dibentangkan di hadapannya," kata Hakim Raus.

Dalam kes ini, katanya, mahkamah tidak nampak sebarang sebab untuk menggunakan kuasanya bagi menyemak semula keputusannya sendiri.

Beliau berkata hanya dalam kes-kes terhad dan luar biasa, mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusannya umpamanya jika keputusan itu dibuat berasaskan penipuan atau penyembunyian keterangan penting.

"Dalam kes ini, tidak berlaku perkara seperti yang disebut di atas," katanya.

Munawar, 61, telah menjalani hukuman penjara enam bulan pada 1998 selepas beliau mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen kerana membenarkan Anwar meliwatnya di rumah Anwar di Jalan Setia Murni di Bukit Damansara pada Mac 1993.

Beliau kemudian mencabar keputusan mahkamah itu bagi membersihkan namanya, dengan mendakwa dia dipujuk supaya mengaku bersalah terhadap tuduhan itu. BERNAMA

Malaysiakini
terkini untuk anda