Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuat laporan polis petang ini, mendakwa dia diganggu oleh sekumpulan kira-kira 10 lelaki dan perempuan yang didakwanya tidak puashati dengan sokongannya kepada pihak tertentu yang bertanding dalam pilihan raya kampus.

Pelajar tersebut, yang tidak mahu namanya disebut atas sebab-sebab keselamatan, mendakwa dalam laporan tersebut, bahawa kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke kolej kediamannya tengah malam tadi.

Dalam laporannya itu, pelajar berkenaan mendakwa mereka mengeluarkan kata-kata menghina terhadapnya kerana tidak puashati kerana dia menyokong pihak lain dalam pilihan raya kampus yang akan berlangsung Khamis ini.

Bagaimanapun, katanya, secara kebetulan, seorang rakannya lalu di situ dan dia terus meminta rakannya itu menemaninya pulang ke bilik asramanya.

Dalam laporan itu lagi, pelajar itu berkata, kumpulan berkenaan beredar apabila dia dan rakannya tiba di blok kediamannya.

Selepas itu, katanya, pada 20 Januari lalu, pelajar itu mendakwa dia menerima ugutan dari pegawai kolej kediamannya.

Menurut laporan itu lagi, pelajar mendakwa, pegawai berkenaan memberitahunya jika dia terlibat dengan pihak lain/luar, tindakan akan diambil terhadapnya.

Berikutan itu, katanya, dia membuat laporan polis hari ini kerana merasakan dirinya terancam dan bimbangkan keselamatan dirinya jika berlaku apa-apa hal di kemudian hari.

Sementara itu, jurucakap pro-M UKM mengesahkan pelajar berkenaan telah membuat laporan polis petang ini.

Katanya, salah seorang pemimpin pro-M turut menemani pelajar itu ketika membuat laporan polis di balai polis Bandar Baru Bangi.

ADS