Anggota polis naik gaji

Seramai 98,747 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menikmati skim perkhidmatan baru yang membolehkan
mereka mendapat penyelarasan tiga pergerakan gaji tahunan dan kenaikan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP).
    
polis malaysia police 260307 marchMenteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata skim perkhidmatan baru itu berkuatkuasa pada 1 Januari tahun lepas namun tarikh pembayaran gaji mengikut skim baru itu masih belum ditetapkan.
    
Skim baru itu akan membolehkan mereka menikmati gaji sekurang-kurangnya RM1,500 hingga RM6,000 bergantung kepada pangkat dan perubahan jadual gaji matriks, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di Putrajaya hari ini.    
    
"Ini merupakan usaha berterusan kementerian dalam menjaga kepentingan dan kebajikan anggota polis di seluruh negara," katanya.

Menurut beliau, pemberian gaji sebanyak itu bersesuaian dengan perubahan daripada segi kelayakan masuk Inspektor yang telah dinaik taraf daripada kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Diploma kepada Ijazah Sarjana Muda (Kepujian), Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Bagaimanapun, Hishammuddin menjelaskan bagi kategori pegawai rendah polis dan konstabel, pengurusan tertinggi PDRM masih berurusan dengan pihak agensi pusat untuk memperhalusi skala gaji termasuk imbuhan tetap.
    
"Penolong Penguasa Polis akan mendapat gaji matriks yang baru sebanyak RM2,130 iaitu kenaikan sebanyak RM69.72 berbanding RM2,060.28 manakala gaji akhir ialah RM5,170.53 berbanding skim lama iaitu RM4,962.39 dengan kenaikan sebanyak RM208.14," katanya.

Beliau berkata anggaran pergerakan gaji bagi Inspektor dinaikkan kepada RM2,060.28 berbanding RM1,423.50 mengikut skim lama manakala gaji akhir pada RM3,710.66 telah dinaikkan kepada RM4,962.39.
    
"Untuk Sarjan Lantikan, kemasukan baru adalah dengan menggunakan syarat kelayakan STPM/Diploma manakala wajaran pengambilan adalah sebanyak 20 peratus dari jumlah jawatan Sarjan," katanya.
    
Hishammuddin berkata kategori Sarjan dan Sarjan Mejar masing-masing menerima penambahan tiga skala tangga gaji akhir dalam skim baru iaitu daripada P1T15 kepada P1T18 dan P1T12 kepada P1T15.
    
"Bagi Sub Inspektor pula, ia turut melibatkan penambahan tiga skala tangga gaji akhir dalam skim baru iaitu dari P1T12 kepada P1T15," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.