Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tetap teguh
Diterbitkan:  Feb 4, 2010 3:29 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata beliau akan tetap meneruskan usaha mentadbir dan membangunkan Pulau Pinang walaupun dibebani dengan pelbagai tekanan dan tuduhan.

"Tekanan yang saya terima ini tidak mendatangkan kesan, sebaliknya saya akan mentadbir negeri ini dan membawanya ke puncak kejayaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) hari ini.

NONE Menjawab soalan sama ada beliau akan meletak jawatan akibat tekanan yang diterima, Lim berkata: "Sesiapa sahaja boleh suruh atau minta saya letak jawatan."

Lim bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya dan beberapa tuduhan lain yang dikaitkan dengannya.

"Saya tidak layak untuk menjawab semua persoalan itu, rakyat tahu menilai," katanya.

Lim berkata usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri tidak akan berjaya kerana Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS tetap berdiri teguh.

Hanya segelintir individu yang ada dalam Pakatan Rakyat sahaja yang mungkin tidak berpuas hati, mereka ini hanya berada dalam parti tetapi jiwanya berada di luar parti, katanya.

Kepimpinan Lim dikritik oleh Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang apabila melabelkan beliau sebagai diktator, chauvinis dan berfikiran bahaya kerana sikapnya tidak suka dikritik.

Turut menyokong kenyataan Zahrain ialah seorang lagi pemimpin PKR, anggota

Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng yang mendakwa Lim seorang yang angkuh dan

harus disingkirkan daripada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

- Bernama

ADS