Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kinibooks -  penerbit dua buah buku yang dirampas di seluruh negara -  mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tersebut dan menggesanya menghentikan gangguan terhadap penjual buku.

Penerbitnya  - sebuah anak syarikat Malaysiakini - menjelaskan sebanyak 118 naskhah kedua-dua buku itu 1Funny Malaysia dan Where is Justice telah dirampas di Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sejak 7 Januari lalu.

NONE Rampasan tersebut dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atas dakwaan boleh membahayakan ketenteraman awam, moral, keselamatan awam dan hubungan antarabangsa.

Ketika dihubungi Malaysiakini , pihak berkuasa berkenaan menjelaskan buku tersebut tidak diharamkan dan rampasan tersebut dibuat untuk membolehkan polis "menganalisis kandungannya".

"Sekiranya mereka mahu untuk menilai buku tersebut, mereka boleh mendapatkan daripada kami. Kami berbesar hati untuk memberikan setiap naskah secara percuma kepada mereka.

"Kami mahu polis dan KDN secara rasmi menghentikan gangguan kepada penjual buku di seluruh negara," kata Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan.

Beliau menambah Kinibooks bercadang untuk menghantar surat peguam kepada KDN supaya menjelaskan sebab rampasan tersebut dibuat dan mendesak naskah tersebut dipulangkan.

'Berhentilah guna pintu belakang'

Bersetuju dengan pandangan itu, editor buku Where is Justice Nathaniel Tan berkata KDN "sepatutnya perlu menilainya dan membuat keputusan dengan segera".

"Sekiranya kamu mahu ia diharamkan, maka lakukanlah. Kami sedia mencabarnya di mahkamah. Tetapi mereka menggunakan taktik pintu belakang untuk menghalang orang awam mendapatkan buku ini.

"Buku-buku ini (kandungannya) tidak berapa panjang dan boleh dihabiskan dalam masa satu hari. Saya rasa pegawai KDN mampu berbuat demikian," katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah tidak ada sebarang sebab yang munasabah dari segi undang-undang untuk mengharamkan buku tersebut. Ini kerana ia ditulis berdasarkan kepada fakta dan "tidak melanggar sebarang undang-undang".

Sementara itu, pengarang buku 1Funny Malaysia Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata rampasan itu  terus mengekang industri kartun politik di Malaysia.

"Peranan kartunis sentiasa memerhati gerak geri kerajaan (tetapi) mereka cuba untuk mewujudkan budaya takut yang akan mempengaruhi hasil karya mereka," katanya.

Zunar menambah, walaupun penerbitannya yang lain Gedung Kartun sebelum ini turut mendapat nasib yang sama, tindakan KDN tersebut bagaimanapun menguatkan lagi keazamannya.

"Saya menerima banyak e-mel pembaca yang memberi semangat kepada saya untuk terus berusaha. Ini kerana kartun boleh diterima pelbagai lapisan umur dan latar belakang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan penjualan buku Kinibooks kini mencatatkan penjualan yang tinggi selepas berlakunya rampasan yang mendapat "liputan meluas secara percuma".

"Kami juga menerima panggilan dari kedai buku yang meminta tambahan naskah," kata Pengurus Pembangunan Perniagaan  Kumpulan Malaysiakini See Tho Chee Seong.

Beberapa kedai buku bagaimanapun mengeluarkan buku tersebut daripada raknya dan hanya dijual berdasarkan permintaan.

"Ini tidak betul... Berhentilah melakukan muslihat dan taktik kotor. Sekiranya (kerajaan) mengambil berat dan tidak mahu pekung di dada mereka dibuka, selesaikanlah masalah dalaman mereka sendiri. Janganlah  mengganggu penjual buku," katanya.

ADS