GPS mungkin menang 44 kerusi tanpa bertanding jika parti politik utama tak bertanding - Badan pemantau
Dengan hanya 48 jam berbaki sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sebuah badan pemantau menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan yang boleh menyempitkan ruang persaingan demokratik serta mengehadkan pilihan yang tersedia bagi pengundi di Sarawak.
Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (PPDM) menyatakan bahawa keputusan beberapa parti politik yang berpangkalan di Semenanjung untuk tidak meletakkan calon boleh menyebabkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi sehingga 44 kerusi tanpa bertanding.
Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan pilihan bagi pengundi, malah menimbulkan kebimbangan mengenai akauntabiliti pilihan raya serta mekanisme semak dan imbang.
Antara parti yang telah mengumumkan untuk tidak menyertai PRN Sarawak termasuk parti-parti nasional yang berpangkalan di Semenanjung seperti PKR, Amanah, PAS, dan Bersatu, serta Barisan Nasional (BN) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).
"Pada masa yang sama, parti-parti tempatan yang akan bertanding juga hanya meletakkan calon di sebahagian kawasan.
"Setakat pengumuman yang dibuat GPS telah mengumumkan kesemua 82 calonnya. Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pula mengumumkan 26 calon, DAP 12 calon dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) dua calon.
"Berdasarkan perkembangan ini, anggaran awal menunjukkan bahawa hanya sekitar 38 daripada 82 kerusi DUN mungkin menyaksikan pertandingan. Ini bermakna sehingga 44 kerusi berpotensi dimenangi tanpa bertanding," jelas PPDM.
Tambah kenyataan itu, sekiranya senario ini benar-benar berlaku, lebih separuh daripada kerusi negeri di Sarawak tidak akan melalui proses pertandingan pilihan raya.
Dalam ulasan tambahan kepada Malaysiakini mengenai bagaimana angka 44 kerusi yang berpotensi dimenangi tanpa bertanding oleh GPS itu diperoleh, PPDM menjelaskan bahawa ia merupakan anggaran awal berdasarkan jangkaan jumlah kawasan pilihan raya yang mungkin menyaksikan kehadiran calon pembangkang atau calon alternatif, dengan mengambil kira pengumuman yang dibuat oleh parti-parti politik menjelang hari penamaan calon.
"Pada peringkat ini, PPDM tidak berhasrat untuk menerbitkan senarai muktamad 44 kawasan pilihan raya tanpa pengesahan yang mencukupi. Kami akan memantau senarai calon rasmi pada hari penamaan calon," jelas badan pemantau itu.
Ia menambah bahawa parti-parti politik mempunyai hak untuk menentukan sama ada mahu bertanding dalam pilihan raya atau tidak, sama seperti mereka bebas untuk membentuk pakatan politik atau mencapai persefahaman dengan parti-parti lain.
Walau bagaimanapun, ia menegaskan bahawa demokrasi tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan kebebasan parti politik untuk membuat keputusan sedemikian, tetapi juga sama ada pengundi mempunyai pilihan yang bermakna, sama ada wujud persaingan pilihan raya yang tulen, serta sama ada mereka mempunyai peluang untuk menilai calon-calon dan menentukan siapa yang layak mewakili mereka.
Ia menyatakan bahawa walaupun tiada bukti yang mencukupi untuk menyimpulkan wujudnya perjanjian rasmi pembahagian kerusi atau aturan yang dirancang khusus bagi kawasan pilihan raya tertentu, pengumuman daripada parti-parti politik itu sendiri menimbulkan persoalan yang wajar.
"Apabila sesuatu kawasan dimenangi tanpa pertandingan, pengundi kehilangan peluang untuk membandingkan calon dan tawaran dasar yang berbeza, menilai rekod perkhidmatan serta prestasi penyandang, menyuarakan pilihan melalui peti undi, menggunakan kuasa undi sebagai mekanisme akauntabiliti terhadap wakil rakyat.
"Persoalan ini menjadi lebih penting apabila kemenangan tanpa bertanding dijangka melibatkan sejumlah besar kawasan, termasuk beberapa kawasan majoriti Melayu/Melanau yang ditandingi calon PBB dalam GPS.
"Kemenangan tanpa bertanding mungkin sah di sisi undang-undang pilihan raya. Namun, kemenangan tanpa pertandingan tidak boleh disamakan dengan mandat yang diperoleh melalui persaingan dan undi rakyat," tambah PPDM.
Dalam kenyataannya, PPDM turut mengemukakan beberapa persoalan kepada rakyat Sarawak dan pihak-pihak berkepentingan:
Adakah perkembangan ini mencerminkan kematangan dan kestabilan politik, atau semakin mengecilkan ruang persaingan demokrasi di Sarawak?
Apabila parti-parti politik memilih untuk tidak bertanding atas pertimbangan kerjasama dan persefahaman politik, sejauh manakah kepentingan pengundi dan hak mereka untuk memilih turut diberi keutamaan?
Jika hampir separuh daripada kerusi DUN dimenangi tanpa bertanding, apakah implikasinya terhadap budaya demokrasi, akauntabiliti dan sistem semak dan imbang di Sarawak?
Adakah kita sedang menetapkan KPI baharu bagi demokrasi Sarawak, iaitu semakin sedikit pertandingan, semakin banyak kemenangan tanpa bertanding?
"PPDM percaya bahawa persaingan politik yang sihat bukan ancaman kepada kestabilan.
"Sebaliknya, persaingan yang terbuka dan adil memberikan peluang kepada rakyat untuk menilai kepimpinan, mengemukakan alternatif dan memastikan wakil rakyat tidak mengambil mudah mandat yang diberikan.
"Kita tidak mahu demokrasi hanya menjadi satu proses memenuhi keperluan perlembagaan setiap lima tahun, sedangkan ruang pilihan rakyat semakin terbatas.
"Menjelang hari penamaan calon, PPDM menyeru semua parti politik supaya meletakkan kepentingan demokrasi dan hak rakyat untuk memilih sebagai pertimbangan utama dalam setiap keputusan politik mereka," ujar PPDM.
Sarawak akan mengadakan pilihan raya pada 12 Disember, dengan proses penamaan calon dijadualkan pada hari Sabtu ini, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 8 Disember.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/0d7c1b9e70466f38a4d57109eaff8a0b.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.