Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA lulus 5 resolusi, minta tambahan bukan b'putra
Diterbitkan:  Mar 7, 2010 8:11 PM
Dikemaskini: 12:56 PM

Perhimpunan Agung Tahunan MCA (AGM) Ke-56 yang berakhir di Kuala Lumpur hari ini, meluluskan lima resolusi merangkumi 16 perkara di bawah usul politik, hal ehwal kerajaan, pendidikan, sosial dan ekonomi, serta budaya.

mca agm 070310 crowd 03 Antara yang diluluskan sebulat suara oleh perwakilan yang hadir ialah meminta kerajaan menambah bilangan pengambilan bukan Bumiputera dalam perkhidmatan awam.

Bagi isu politik, perhimpunan agung itu juga meminta kerajaan melaksanakan sepenuhnya perubahan dan inovasi kepada struktur dan mekanisme pertadbiran Barisan Nasional (BN) supaya konsep perkongsian kuasa dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Parti itu juga menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditawarkan semua sekolah persendirian Cina selain menyediakan peruntukan kepada sekolah terbabit supaya lebih ramai pelajar yang berbakat dapat dipupuk.

mca agm 070310 stage Kerajaan juga digesa untuk terus mengamalkan dasar pendidikan yang lebih liberal dan berbilang kaum supaya lebih banyak sekolah vernakular boleh ditubuhkan dan dimasukkan ke dalam program pembangunan nasional.

Mengenai isu ekonomi, MCA yang menyokong penuh usaha kerajaan melaksanakan Model Ekonomi Baru, meminta kerajaan membuat pertimbangan sewajarnya ketika menilai dasar ekonomi supaya tidak menyulitkan kehidupan rakyat yang dibebani dengan pelarasan tarif air, elektrik serta tol.

Resolusi lain termasuk gesaan terhadap semua jabatan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan Biro Tata Negara (BTN) untuk mengubah suai kursus mengikut fakta sejarah dan menyerapkan konsep 1Malaysia ke dalam kurikulumnya.

Langkah itu berupaya menanam pengertian sebenar sejarah dalam diri pelajar selain bebas daripada pemikiran yang hanya berlandaskan kaum.

mca agm 070310 crowd 02 MCA turut meminta kerajaan menilai semula hukuman fizikal terhadap golongan wanita beragama Islam dan bertindak atas dasar pertimbangan kemanusiaan dengan mematuhi persetujuan yang diterima pakai "Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita" (CEDAW).

Selain itu, MCA menyokong penuh gagasan 1Malaysia "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan" yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai usaha untuk mencapai satu sistem meritokrasi rakyat berlandaskan kepada keperluan penduduk dalam pentadbiran negara.

Parti itu turut menyokong penuh Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang melaksanakan kedua-dua dasar Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) untuk memperkasa prasarana kawasan luar bandar dan pedalaman selain meningkatkan taraf hidup rakyat.

- Bernama

ADS