Musa Hassan nafi hantar surat letak jawatan

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini menafikan laporan sebuah akhbar bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, lima bulan sebelum tamat tempoh kontrak perkhidmatannya.

musa hassan police igp pc 250607 mumMenurut The Star, Musa menafikan laporan tersebut.

Akhbar China Press, melaporkan Musa dijangka meletak jawatan secara rasmi pada 25 Mac di majlis sambutan ulangtahun ke-203 Hari Polis.

Sumber-sumber berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hishammuddin telah menerima peletakan jawatan Musa.

Jika tiada perubahan pada saat-saat akhir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dilaporkan akan menggantikan Musa sebagai ketua polis negara.

Laporan peletakan jawatan oleh Musa itu dibuat sehari selepas bekas Pengarah Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuff, dilepaskan daripada tuduhah tidak mengisytiharkan asetnya.

sementara itu, Star Online yang menghubungi Musa melaporkan ketua polis negara sebagai berkata bahawa beliau tidak mengemukakan sebarang surat peletakan jawatan kepada perdana menteri atau kepada sesiapapun.

Ia memetaik Musa sebagai berkata, yang beliau mahu tahu sekiranya sumber tersebut adalah dari saluran rasmi atau 'bawah tanah'.

"Saya tahu ia bukan dari Kementerian (Dalam Negeri) kerana saya sudah menghubungi Ketua Setiausaha Datuk Mahmood Adam yang tidak tahu menahu mengenainya," kata Musa dalam laporan tersebut.

Kontrak perkhidmatan Musa sebelum ini telah dilanjutkan selama setahun sehingga September depan.

Sementara itu, pegawai akhbar kepada menteri dalam negeri, Nik Ahmad Khusairi Nik Ibrahim, ketika dihubungi Malaysiakini, telah menafikan laporan Musa telah menghantar surat peletakan jawatannya.

Menurutnya, Hishammuddin menafikan laporan tersebut dalam satu sidang akhbar di Kemaman, Terengganu pagi ini.

Bercakap kepada pemberita di Kemaman, Hishammuddin menyifatkan laporan yang memetik sumber itu sebagai pembohongan dan ia adalah sesuatu yang serius, lapor Bernama.
   
Sehubungan itu beliau mengarahkan Ketua Setiausaha KDN untuk memanggil editor akhbar terbabit bagi
memberi penjelasan berhubung perkara itu.

"Kalau ada sesuatu perubahan berkaitan (peletakan jawatan) saya akan tahu...keadaan hubungan saya dengan Ketua Polis Negara dan timbalannya amat baik sekali.
   
"Tidak mungkin mereka akan letak jawatan tanpa pengetahun saya dan saya tahu itu (laporan akhbar) adalah satu pembohongan dan saya akan ambil tindakan tegas," katanya.

Hishammuddin berkata beliau mengetahui setiap perkara yang berlaku dalam pucuk pimpinan tertinggi pasukan Polis Diraja Malaysia yang merupakan sebuah jabatan di bawah kementeriannya.
   
Menurutnya, sebarang perubahan dalam jawatan tertinggi pasukan itu akan ditentukan kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan beliau sendiri sebagai menteri yang bertanggungjawab, dan bukannya berlandaskan spekulasi media.
    
"Isu berhubung peletakan jawatan IGP bukan hari ini sahaja...tahun sebelum saya jadi menteri dalam negeri pun isu ini dah timbul, jadi kenapa sekarang saya patut layan isu ini.
   
"Mereka (akhbar terbabit) kena bertanggngjawab. Saya beri amaran keras kepada China Press, jangan buat laporan yang tidak benar dan jika mereka gagal memberikan alasan yang munasabah kita akan ambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata setakat ini Musa masih menjalankan tugas seperti biasa dan kontraknya dijangka tamat pada September ini.

Hishammuddin bagaimanapun tidak menafikan akan berlaku perubahan melibatkan
 jawatan tertinggi PDRM dalam tempoh terdekat berikutan empat pengarah akan bersara tahun ini.
   
"Dalam masa enam bulan sebelum September, selalunya akan berjalan proses peralihan dan perubahan kuasa, kita akan buat pengumuman. Perancangan PDRM tidak akan berkisar kepada jawatan IGP sahaja kerana empat pengarah jabatan juga akan bersara tahun ini.
   
"Nanti saya akan umum perancangan itu dalam tempoh terdekat...dan saya telah melihat dan mendapat pandangan setiap lapisan PDRM untuk perubahan dan peralihan kuasa ini. Kita akan lihat satu bab baru dalam pasukan polis," katanya.
 


 


 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.