Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz nafi syarikat balak derma pada k'jaan K'tan
Diterbitkan:  Apr 4, 2010 5:19 PM
Dikemaskini: Apr 5, 2010 12:58 AM

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menafikan kerajaan negeri mengenakan syarat bagi setiap syarikat yang ingin mendapatkan konsesi balak mesti menghulurkan derma kepada kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

   

"Bukan menjadi dasar kerajaan meminta mana-mana syarikat yang mendapat konsesi balak menghulurkan derma atau bantuan kepada kerajaan negeri. Ini tak ada dalam pengetahuan saya," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

   

Sebelum itu beliau menyempurnakan upacara pelepasan konvoi 1,300 motosikal berkuasa tinggi di perkarangan Stadium Sultan Mohammad ke-IV, lapor Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan blog Kickdefella yang menyebut kononnya setiap pihak yang memohon kawasan balak dan segala derma yang dijanjikan akan dimaklumkan di dalam mesyuarat exco.

Blog itu mendakwa ini termasuk modus operandi bagi permohonan tanah hutan untuk tujuan perladangan.

Bagaimanapun, Nik Aziz menempelak penulis blog terbabit yang menurutnya cuba menimbulkan isu itu sambil melahirkan perasaan dukacitanya dengan sikap penulis blog yang menulis sesuka hati dan bukan menyebarkan ilmu pengetahuan.

   

Sebelum ini, Nik Aziz yang juga pengerusi jawatankuasa perhutanan negeri menyifatkan penulis blog sebagai kedai kopi bergerak yang membincangkan perkara-perkara sama ada untuk kebaikan dan keburukan sesuatu pihak.

ADS