Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim bersama 10 bekas anggota exco negeri menarik balik pendirian mereka sebelum ini yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Langkah itu dilihat membuka ruang kepada penyelesaian krisis perlembagaan negeri yang berlarutan sejak tujuh bulan lalu, ketika kerajaan negeri berdepan keperluan mendesak untuk meluluskan Belanjawan 2027.

Ia sekali gus membatalkan pendirian Ismail pada 17 Sept lalu yang menyokong usaha mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pemerintah baru Negeri Sembilan, yang tidak diiktiraf kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, langkah itu tidak menyelesaikan pertikaian berhubung pemecatan 10 exco terbabit, yang masih dicabar di mahkamah.


Dalam sepucuk surat yang didakwa ditandatangani Ismail dan 10 bekas exco berkenaan, mereka memaklumkan keputusan sebulat suara untuk menarik balik kandungan surat yang dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja pada 17 Sept lalu.

Surat bertarikh 10 Nov yang dilihat Malaysiakini itu ditujukan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad.

"Saya bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September 2026 tersebut," menurut surat berkenaan.

Surat itu turut mengambil maklum kenyataan Majlis Raja-Raja pada 14 Okt serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut surat itu, keputusan tersebut dibuat bagi menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan memastikan kelangsungan pentadbiran negeri.

"Kami menegaskan komitmen untuk sentiasa menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan," menurut surat berkenaan.

Dokumen itu turut memaparkan tandatangan yang didakwa milik kesemua 10 bekas exco daripada Umno, MCA, PAS dan Parti Wawasan Negara.

Akuan penerimaan yang dilampirkan pula memaparkan tandatangan atas nama Syed Danial serta cap Istana Negara bertarikh 11 Nov.

Malay Mail yang memetik sumber, melaporkan Ismail bertemu Syed Danial minggu ini untuk menyerahkan surat berkenaan.

Portal itu turut melaporkan Ismail dijangka menghadap Tuanku Muhriz bagi menyatakan taat setia dan mendapatkan perkenan mengadakan sidang DUN.

Sebelum ini, pada 16 Okt, Tuanku Muhriz menegur Ismail secara terbuka di Kuala Pilah berhubung surat yang mempertikaikan kedudukan baginda.

"Selagi dia tak tarik balik apa dia kata tu, jangan jumpa saya..." titah baginda dalam petikan yang dipendekkan.

Ismail sebelum ini mengakui menandatangani dokumen berkaitan pemasyhuran penyingkiran Tuanku Muhriz, tetapi mendakwa dia berbuat demikian dalam keadaan terpaksa.

Pemasyhuran itu bertarikh 19 April, manakala Ismail dilaporkan menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos.

Walaupun kemudian menyatakan taat setia kepada Tuanku Muhriz, Ismail pada 17 Sept mengumumkan kerajaan negeri akan meneruskan pewartaan pemasyhuran yang mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pemerintah baru.

Jabatan Peguam Negara bagaimanapun menyatakan pemasyhuran itu tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pula memaklumkan pihaknya tidak akan mewartakan atau melaksanakan pemasyhuran itu.

Belanjawan 2027 menanti perkenan sidang

Pentadbiran negeri beroperasi tanpa barisan exco selepas Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 anggota berkenaan berkuat kuasa 20 Sept atas alasan melanggar ikrar taat setia. Pembatalan itu diwartakan pada 24 Sept.

Ismail mempertikaikan tindakan tersebut atas alasan ia memerlukan nasihat menteri besar manakala 10 bekas exco terbabit mencabar pembatalan pelantikan mereka di mahkamah.

Ismail sebelum ini berpendirian untuk menunggu keputusan mahkamah sebelum mengisi kekosongan itu, sambil menegaskan dia masih mendapat sokongan 24 Adunke rajaan yang lain.

Pertikaian mengenai pembatalan pelantikan exco itu masih dibawa ke mahkamah, dengan Mahkamah Persekutuan menetapkan 16 Dis untuk mendengar permohonan berhubung persoalan undang-undang yang timbul daripada kes berkenaan.

Sementara itu, sidang DUN yang ditangguhkan daripada 16 Okt dirancang berlangsung pada 26 Nov, diikuti pembentangan Belanjawan 2027 keesokan harinya.

Bagaimanapun, tarikh berkenaan masih tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.

Kelewatan meluluskan belanjawan berisiko menjejaskan pembiayaan operasi dan perkhidmatan kerajaan negeri tahun depan.

Pada 14 Okt, Raja-Raja Melayu menyeru pihak terbabit mencari penyelesaian melalui saluran undang-undang dan adat yang sah, selain mengingatkan pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan pertikaian itu.

Kemelut adat tercetus apabila Undang Yang Empat dari Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pertikaian itu turut membabitkan kedudukan Mubarak Thahak sebagai Undang Sungai Ujong selepas DKU pada 17 April menerima pemecatannya yang berkuat kuasa 13 Mei 2025.


BACA BERKAITAN:

PANDUANKINI | Kemelut takhta Negeri Sembilan: Apa sebenarnya berlaku?

Krisis takhta Negeri Sembilan: Undang pecat Yang di-Pertuan Besar

Kemelut takhta N Sembilan: Apa seterusnya?

Isu takhta Negeri Sembilan: Raja-Raja Melayu gesa pihak luar hentikan campur tangan


Dua hari kemudian, Mubarak bersama tiga pembesar lain mengisytiharkan penyingkiran Tuanku Muhriz dan menamakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai penggantinya.

Warta bertarikh 23 Okt kemudian merekodkan pemberhentian Mubarak dan Undang Jelebu Maarof Mat Rashad, serta pengiktirafan Muhammad Faris Johari dan Hassan Ab Hamid sebagai Undang Sungai Ujong dan Rembau masing-masing.

Bagaimanapun, Tunku Nadzaruddin bersama kumpulan pembesar terbabit pada 29 Okt menolak pewartaan itu dengan mendakwa keputusan DKU yang menjadi asasnya tidak sah.