Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kabinet simpati kejadian remaja mati ditembak
Diterbitkan:  Apr 28, 2010 11:08 PM
Dikemaskini: Apr 29, 2010 1:41 AM

Kabinet melahirkan rasa sedih dan simpati kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak dalam satu kejadian melibatkan anggota polis di Shah Alam pada Isnin lepas dan mahu siasatan dibuat secara telus.

    

NONE Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata beliau telah membangkitkan kes itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

    

"Kita juga minta kes itu tidak dipolitikkan kerana jika ia menjadi isu politik, maka sukar kes itu hendak diselesaikan," katanya kepada pemberita di majlis penyampaian cek bernilai RM3 juta kepada SJK (C) Rasa di Putrajaya yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

    

Noh, yang juga timbalan pengerusi Umno Selangor, diminta mengulas insiden kematian remaja berusia 15 tahun itu yang dilaporkan ditembak oleh polis ketika didakwa cuba mengundur kenderaan yang dipandunya ke arah anggota polis.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan penubuhan pasukan khas yang diketuai oleh timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi menyiasat kejadian itu.

    

NONE Noh berkata beliau telah berbincang dengan Hishammuddin mengenai perkara tersebut dan diberikan jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan menyiasat secara telus.

    

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang turut hadir di majlis itu berkata pasukan khas yang ditubuhkan itu turut perlu melibatkan wakil daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

    

"Cara kerajaan mengendalikan kes tersebut juga penting untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan benar-benar melakukan siasatan. Kerajaan juga perlu memastikan sesiapa yang melakukan kesalahan atau kesilapan perlu berdepan dengan tindakan sewajarnya," katanya.

Sementara itu,  Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) mencadangkan agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menjalankan siasatan terperinci berhubung  insiden seorang remaja 15 tahun yang dilaporkan ditembak mati oleh polis di Shah Alam pada Isnin lepas.

    

Presidennya Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan berkata Suhakam sebagai badan yang bebas harus menyiasat kes itu sebagai pihak ketiga kerana ia tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam isu itu bagi memastikan siasatan yang dijalankan telus.

    

NONE "Kita bukan nak kata polis tak boleh buat siasatan tapi kerana dia (polis) sendiri terlibat, maka Suhakam dilihat sebagai pihak bebas yang boleh menjamin ketelusan siasatan.

    

"Suhakam harus lebih proaktif terhadap kes-kes yang melibatkan hak asasi manusia terutamanya yang mendapat liputan meluas media kerana dia ada akta yang membenarkan siasatan dijalankan tanpa menunggu laporan," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Aminulrasyid Amzah, 15, dilaporkan mati terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.

    

Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan pula mencadangkan agar satu inkues dijalankan kerana berlaku kematian dalam satu operasi polis.

    

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) dengan segera memandangkan akta SIAP itu telahpun diwartakan pada pertengahan tahun lepas.

    

NONE Jika SIAP ditubuhkan, "sudah tentu ia dapat menjalankan siasatan segera berbekalkan peruntukan yang digariskan dalam Akta SIAP 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    

Memandangkan keanggotaan suruhanjaya itu tidak boleh membabitkan mana-mana individu yang sedang atau pernah berkhidmat selaku pegawai penguatkuasa, "ini mampu memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa tiada unsur berat sebelah dalam siasatan yang dikendalikan," katanya.

    

mentara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam satu kenyataan berkata bahawa siasatan perlu diselesaikan segera oleh sebuah jawatankuasa khas agar keadilan dapat dilaksanakan dengan telus.

    

Ketua Pemudanya Datuk Dr Wee Ka Siong pula berkata dalam era ketelusan dan akauntabiliti kepada rakyat, hasil siasatan itu perlu dihebahkan bagi mengelak sebarang kecurigaan yang akan timbul mengenai masalah yang cuba disembunyikan.

    

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Nasrudin Hassan Tantawi pula mahu siastan ke atas kes itu dijalankan dengan terperinci dan telus.

    

- Bernama

ADS