Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR Ipoh Barat bubar, 488 ahli keluar parti
Diterbitkan:  May 15, 2010 9:37 PM
Dikemaskini: 2:26 PM

Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Ipoh Barat hari ini lumpuh apabila 488 anggotanya termasuk anggota jawatankuasanya bertindak keluar daripada parti itu hari ini selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR di peringkat negeri Perak yang didakwa dikuasai orang yang berkepentingan peribadi.

Ketua Cabang PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda, membuat pengisytiharan itu hari ini di kediamannya di Taman Malar, Ulu Kinta di Ipoh.

"Oleh yang demikian dimaklumkan bahawa PKR Cabang Ipoh Barat dengan rasminya dibubarkan setelah 19 daripada 25 anggota AJK cabang yang sah telah mengosongkan jawatan mereka.

"Antara 19 AJK itu, 14 orang bertindak keluar parti dan lima orang meletak jawatan," katanya kepada pemberita di Ipoh.

Katanya, tindakan keluar parti itu bukan kerana mereka membenci PKR atau mengkhianati perjuangan yang dibawa penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi ia sebenarnya bermatlamat mahu menghancurkan "syaitan dan firaun kecil" yang sedang bermaharajalela dalam PKR.

Justeru, beliau meminta PAS dan DAP memikirkan semula kedudukan masing-masing dalam pakatan itu setelah banyak anggota PKR bertindak keluar parti kerana PKR sendiri tidak lagi mempunyai harga diri dan nilai.

Beliau berkata, semua borang keluar parti yang telah diisi dan ditandatangani bekas anggota itu akan diserahkan kepada ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Fauzi turut mencabar Naib Pengerusi PKR Perak, Madzi Hassan, untuk menjelaskan kepada rakyat dan anggota PKR di peringkat akar umbi berhubung skandal penyelewengan wang sumbangan kepada PKR berjumlah RM250,000 yang didakwanya berlaku semasa Madzi menjadi Bendahari PKR Perak pada 2008 dan 2009.

"Skandal penyelewengan wang dana ini menjadi isu hangat dalam mesyuarat negeri pada Disember 2009 sehingga tuduh-menuduh individu tertentu yang didakwa menggelapkan wang itu," katanya.

Fauzi berkata, beliau akan membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan supaya menyiasat penipuan mesyuarat agong cabang baru-baru ini kerana banyak cabang tidak mempunyai korum yang mencukupi untuk bermesyuarat.

Katanya, berkata beliau kini mewujudkan Pertubuhan Kebajikan dan Tindakan Suara Rakyat Perak yang akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan dan ia akan bergerak sebagai platform kebajikan serta politik.

Pada 20 April lalu, Ketua Penerangan Wanita PKR Perak, Soraya Sulaiman, dan Timbalan Ketua Wanita PKR Bahagian Bagan Serai, Roshanita Mohd Basir, mengumumkan keluar daripada parti itu kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi PKR yang telah jauh tersasar daripada hala tuju sebenar.

- Bernama

ADS