Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan tajamkan senjata, kata MB Perlis
Diterbitkan:  May 22, 2010 9:29 AM
Dikemaskini: 1:29 PM

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mengingatkan masyarakat berbilang kaum di negeri ini supaya berfikiran positif ke arah memantapkan ikatan perpaduan yang telah lama terjalin.

"Jangan tajamkan senjata (mencari jalan) untuk sengketa," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dan dialog dengan para pemimpin masyarakat Cina di Kangar malam tadi.

Beliau berkata perpaduan yang telah lama dibina perlu dipertahankan dan beliau turut mengingatkan betapa pentingnya sikap saling menghormati antara kaum.

"Kalau masing-masing cuba mempertajamkan senjata untuk merosakan yang lain, ia boleh merosakkan keharmonian," katanya pada majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Perlis itu.

Md Isa yang juga Pengerusi Barisan Nasional Perlis berkata tiada sebab untuk masyarakat berpecah-belah kerana masing-masing telah menikmati kehidupan yang harmoni.

Beliau berkata gagasan 1Malaysia jelas mengingatkan masyarakat tentang pentingnya keharmonian hidup rakyat yang akan membolehkan kerajaan melaksanakan pentadbiran dengan lebih berkesan.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan sijil penghargaan JASA kepada veteren masyarakat Cina yang pernah berjasa dalam pelbagai bidang termasuk politik.

- Bernama

ADS